
Oleh: Noor Eszereen Juferi
BINTULU, 2 Nov – Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) diseru agar memanfaatkan peluang yang tersedia untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman bagi kekal relevan serta berdaya saing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, berkata ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh pengajian perlu digunakan secara optimum serta disebarkan demi manfaat bersama, selaras dengan moto universiti “Berilmu Berbakti.”
“Jadilah individu yang bukan sahaja berjaya dalam pendidikan, tetapi juga berjaya membentuk keperibadian, membina kerjaya dan memberi impak kepada keluarga, masyarakat, negara serta tamadun manusia,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49 Sidang 1, di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak), di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa UPM sentiasa berhasrat melahirkan graduan yang memiliki karakter holistik, berdaya saing, proaktif, berjiwa besar serta berpegang kepada etika, adab dan budaya bangsa.
“Harapan saya agar para graduan dapat meneruskan usaha dan cita-cita dengan penuh semangat dalam mendepani alam pasca universiti,” ujarnya.

Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan turut merakamkan penghargaan kepada barisan pensyarah dan seluruh warga kerja UPM atas dedikasi serta komitmen mereka dalam melahirkan graduan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
“Segala pengalaman dan kenangan sepanjang bergelar mahasiswa pasti menjadi memori terindah yang membentuk jati diri dan semangat juang setiap graduan,” katanya.
Majlis konvokesyen kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi yang pertama diadakan selepas penjenamaan baharu UPM Sarawak yang dilancarkan pada 30 Jun 2025.
Selain itu, majlis bersejarah tersebut turut menyaksikan graduan sulung bagi program baharu Bacelor Sains Kimia Perindustrian dengan Kepujian serta Diploma Pengurusan Perniagaan menerima ijazah dan diploma masing-masing, menandakan satu pencapaian penting dalam peluasan program akademik universiti.
Seramai 556 graduan menerima ijazah dan diploma dalam pelbagai bidang pada majlis tersebut, terdiri daripada tujuh graduan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), 31 Ijazah Sarjana, 130 Ijazah Bacelor dan 388 Diploma.

.jpg)




