| Universiti Putra Malaysia

Saya Yakin Mereka Bangga’, Ketabahan Haiqal Berjuang Tanpa Ibu Bapa di Sisi

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim




BINTULU, 2 Nov - Ketabahan menjadi tunjang kekuatan buat Tengku Muhammad Haiqal Tengku Nor Izuri, 20, pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan dari Kinabatangan, Sabah, yang menamatkan pengajian tanpa ibu bapa di sisi.

Meskipun dibesarkan oleh bapa saudara selepas kehilangan kedua-dua orang tua, Haiqal tidak pernah menjadikan situasi itu alasan untuk berputus asa.

“Saya menetap bersama bapa saudara dan keluarganya. Mereka banyak membantu supaya saya dapat meneruskan kehidupan dan pelajaran,” katanya.

Beliau mengakui bidang pengajian yang diceburi bukanlah pilihan asalnya, namun pengalaman dan bimbingan pensyarah telah menimbulkan minat mendalam terhadap dunia perniagaan.

“Pada awalnya saya tidak begitu minat dalam bidang perniagaan, tetapi rezeki saya menyambung pelajaran dalam kursus ini. Lama-kelamaan, minat itu datang sendiri,” ujarnya.

Menuntut ilmu di perantauan bukan perkara mudah, lebih-lebih lagi apabila jarak antara Sabah dan Sarawak menyukarkan urusan pulang ke kampung ketika berlaku kecemasan.

“Detik paling sukar ialah bila saya perlu pulang ke Sabah dalam keadaan mendesak, kerana harga tiket kapal terbang sangat mahal. Tapi saya bersyukur kerana keluarga tetap membantu bila saya betul-betul perlukan bantuan,” katanya.

Haiqal berkata, setiap dugaan yang dihadapi sepanjang tempoh pengajian menjadikan dirinya lebih matang dan kuat.




“Saya percaya setiap kesusahan pasti akan dibalas dengan kemanisan. Kita perlu tabah dengan apa sahaja yang berlaku, sebab semuanya adalah ketentuan Tuhan,” katanya dengan nada tenang.

Bagi Haiqal, kejayaan menamatkan pengajian ini bukan sekadar untuk dirinya, tetapi hadiah buat kedua-dua ibu bapanya yang telah tiada.

“Kalau ibu bapa saya masih ada, perkara pertama yang saya nak katakan ialah terima kasih kerana mendidik saya hingga ke tahap ini. Walaupun mereka tak dapat melihat kejayaan saya, saya yakin mereka bangga dengan apa yang saya capai hari ini,” katanya sebak.

Kisah Tengku Muhammad Haiqal menjadi inspirasi bahawa kasih sayang tidak semestinya diukur melalui kehadiran, tetapi melalui semangat untuk meneruskan perjuangan demi membanggakan insan yang disayangi, walau hanya dengan doa dan ingatan yang kekal di hati.

WYLMTAa~