
PUTRAJAYA, 5 November – Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan komitmen sebagai universiti peneraju inovasi apabila diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) untuk menyelaras penganjuran pertandingan IdeaVault 2025, sempena Festival of Ideas (FOI) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Timbalan Pengarah (Promosi dan Pengurusan Harta Intelek), Putra Science Park (PSP), UPM, Prof. Madya Dr. Saiful Hasley Ramli, berkata IdeaVault merupakan satu inisiatif baharu yang membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk mengemukakan idea kreatif dan penyelesaian inovatif terhadap pelbagai cabaran semasa negara.
“IdeaVault adalah pertandingan idea pertama seumpamanya yang dianjurkan oleh KPT, dan UPM diberi mandat sebagai koordinator utama. Ia bertujuan mengumpulkan idea baharu daripada pelbagai lapisan masyarakat dan memperlihatkan potensi sebenar rakyat Malaysia dalam menjana penyelesaian berimpak,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan itu menerima lebih 8,000 penyertaan dari seluruh negara melibatkan lima kategori utama iaitu orang awam, profesional, institusi pengajian tinggi (IPT), politeknik dan kolej komuniti, serta sekolah menengah dan sekolah rendah. Setiap kategori akan menampilkan tiga pemenang utama iaitu tempat pertama, kedua dan ketiga.
“Kita melalui beberapa peringkat saringan sebelum memilih 100 idea terbaik untuk dipertandingkan di Festival of Ideas kali ini. Apa yang membezakan IdeaVault ialah penekanan kepada idea yang bukan sahaja kreatif, tetapi mampu menyelesaikan masalah sebenar dalam komuniti,” katanya

Dr. Saiful Hasley berkata, IdeaVault merupakan “projek sulung” kepada ekosistem inovasi idea nasional di bawah KPT yang diharapkan menjadi platform tahunan untuk mencungkil potensi baharu dalam kalangan pelajar, profesional dan masyarakat umum.

“Inisiatif ini bukan sekadar pertandingan, tetapi satu gerakan nasional untuk merangsang budaya berfikir secara kreatif dan kritikal serta mencerminkan komitmen kerajaan dalam memupuk masyarakat berinovasi tinggi yang progresif,” katanya.

.jpg)




