| Universiti Putra Malaysia

MATNA Siri 2 semarakkan warisan seni budaya, kukuhkan jalinan alumni pelajar UPM

 

SERDANG, 15 November – Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan komitmennya memartabatkan warisan seni budaya dan memperkukuh jaringan alumni melalui penganjuran Malam Tautan Nostalgia Alumni (MATNA) Siri 2: Alumni Kijang Emas yang berlangsung di Menara Putra Warisan Budi, baru-baru ini.

 

Program anjuran Pusat Alumni UPM itu merupakan kesinambungan daripada penganjuran MATNA Siri 1 dan bertujuan memperkasa peranan Menara Putra Warisan Budi sebagai pusat kegiatan budaya serta ruang interaksi strategik antara universiti, alumni dan pelajar.

 

Pengarah Pusat Alumni UPM, Fahmi Azar Mistar, berkata MATNA Siri 2 menekankan pengisian berteraskan seni budaya tradisional sebagai medium pemerkasaan jati diri, seterusnya mengukuhkan hubungan institusi dengan komuniti alumni.

 

 

“Program ini menjadi platform signifikan yang bukan sahaja mengangkat seni budaya warisan negara, malah memupuk ukhuwah dan rasa kebersamaan antara universiti, alumni dan pelajar,” katanya.

 

Selain itu, penganjuran program itu mengukuhkan peranan UPM sebagai institusi yang aktif melestarikan seni budaya negara sambil mempererat hubungan strategik dengan komuniti alumni ke arah menyokong agenda pembangunan universiti.

 

 

Penganjuran MATNA Siri 2 menampilkan persembahan Dikir Barat dan Wayang Kulit, dua elemen seni tradisional yang mencerminkan kekayaan budaya tempatan serta menggalakkan apresiasi warisan dalam kalangan warga universiti.

 

Majlis turut dihadiri barisan pimpinan alumni UPM antaranya Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar merangkap Penasihat Kumpulan Dikir Barat DNAIM, Wan Zaharuddin Wan Abdullah; Presiden Persatuan Alumni UPM, Norashedy Ab Rashid; Timbalan Presiden Persatuan Alumni UPM, Shahrudin Mahadi; dan Mantan Pengurus Persatuan Alumni UPM, Wan Ali Wan Ab Rahman.

WYLYVAR~