
Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 24 November – Kumpulan CocoSplash dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali lagi menyerlah apabila merangkul Anugerah Produk Berdaya Saing pada Future Entrepreneurs in Food Security Convention (FEAST25) baru-baru ini, sekali gus mengangkat inovasi makanan tropika negara ke tahap yang lebih tinggi.
Ketua Kumpulan CocoSplash, Muhammad Haziq Saharudin, berkata produk berasaskan kelapa laut itu dibangunkan bagi memperkenalkan potensi komersial bahan tropika bernilai tinggi melalui pelbagai variasi makanan inovatif seperti Yogurt Kelapa Laut, Air Botol Kelapa Laut, Aiskrim Kelapa Laut dan Agar-agar Kelapa Laut.
“Produk CocoSplash juga merupakan inisiatif keusahawanan Kolej Sepuluh yang menyokong Blueprint Keterjaminan Makanan UPM melalui pembangunan produk inovatif, mampan dan mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan,” katanya.
Tambah beliau, kemenangan itu memberi suntikan motivasi kepada pasukan untuk melangkah lebih jauh dalam arena inovasi makanan.
“Kemenangan ini membuktikan bahawa idea pelajar mampu memberi impak besar jika dibimbing dengan betul. Kami berharap CocoSplash dapat menjadi produk UPM pertama berasaskan kelapa laut yang menembusi pasaran arus perdana,” katanya.

Pasukan CocoSplash turut menerima bimbingan intensif daripada Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), UPM, Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin, yang memainkan peranan penting dalam memberi panduan strategik sepanjang pertandingan.

Kumpulan CocoSplash yang dianggotai Balqis Nabihah Razeff Shardin, Mohamad Arief Haikal Mohd Nor, Adriena Shafeeqah Mohamad Shafarizam, Filzah Irdina Ramdan, Luqman Al-Hakim Abdul Rahim, Noor Irtifa Mohd Hafiz, Nur Waffiah Khairul Tajuddin dan Nurul Arrisha Redzuan turut membawa pulang mock cek RM1,000 serta sijil penghargaan.
Pertandingan FEAST25, yang berlangsung dari April hingga November, merangkumi dua fasa utama. Fasa pertama, BootCamp, diadakan pada 17 hingga 20 April di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan memberi pendedahan intensif mengenai inovasi produk makanan, strategi pemasaran serta pembangunan perniagaan.
Fasa kedua, Final Pitching, yang diadakan dari 16 hingga 19 November juga di UMT, menyaksikan pasukan CocoSplash mempersembahkan produk mereka kepada panel penilai terdiri daripada pakar industri dan akademik.
FEAST25 disertai oleh 25 institusi termasuk IPTA, Kolej Komuniti dan Politeknik. Kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan UPM sebagai universiti yang komited melahirkan pelajar berdaya saing serta inovatif dalam bidang keselamatan makanan dan keusahawanan.






