| Universiti Putra Malaysia

IPSAS UPM diiktiraf di peringkat antarabangsa, perkukuh reputasi global melalui GYWC 2025

 

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 19 November – Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mengukir pencapaian cemerlang di pentas global apabila Prof. Dr. Ismi Arif Ismail diiktiraf sebagai Pengucaptama (Keynote Speaker) dalam 5th Global Youth Work Conference (GYWC) 2025, baru-baru ini.

 

Dalam ucap tama bertajuk “Youth Work in a Changing World: Connecting Commonwealth Youth Work Practices through Youth Leaders and Youth Work Professionals”, beliau menggariskan keperluan membangunkan ekosistem kerja belia yang kukuh, profesional dan relevan dengan perubahan global.

 

Selain itu, Prof. Dr. Ismi Arif turut menegaskan pengiktirafan terhadap profesionalisme kerja belia (youth work profession) adalah asas penting untuk memperkukuh pembangunan belia sebagai rakan pembangunan negara.

 

Pengarah IPSAS, Prof. Dr. Haslinda Abdullah, berkata pengiktirafan antarabangsa terhadap Prof. Dr. Ismi serta penglibatan IPSAS sebagai hos akademik mengukuhkan reputasi UPM sebagai universiti bertaraf dunia yang memberi impak besar dalam pembangunan belia global.

 

“Penganjuran konferens ini mengukuhkan peranan akademik dan kepakaran dasar UPM dalam jaringan Komanwel melalui kolaborasi bersama Commonwealth Alliance of Youth Workers Associations (CAYWA) serta institusi penyelidikan antarabangsa,” katanya.

 

Tambah beliau, IPSAS komited untuk terus menjadi peneraju dalam penyelidikan, dasar sosial dan pembangunan komuniti, selari dengan aspirasi UPM untuk menjadi universiti bereputasi global dan memacu perubahan sosial berasaskan ilmu, kepakaran dan jaringan antarabangsa.

 

“Dengan pengiktirafan ini IPSAS dapat memperluaskan rangkaian kerjasama global termasuk dengan Sekretariat Komanwel serta pelbagai universiti dan institusi penyelidikan antarabangsa,” katanya.

 

 

 

Konferens tersebut anjuran Sekretariat Komanwel dengan kerjasama UPM melalui IPSAS ini menghimpunkan lebih 250 peserta dari negara-negara Komanwel merangkumi pembuat dasar, pemimpin belia, penyelidik, organisasi belia dan pengamal kerja belia profesional.

 

Selain itu, Malaysia sebagai tuan rumah pertama di Asia Tenggara bagi GYWC 2025 dan menandakan pencapaian strategik negara dalam memacu agenda belia di pentas antarabangsa.

 

Dalam pada itu, IPSAS kini menerajui pelbagai penyelidikan penting merangkumi pembangunan belia, kesejahteraan sosial dan transformasi komuniti yang menjadi rujukan pembuat dasar di Malaysia dan negara-negara Komanwel. Penglibatan aktif IPSAS dalam penganjuran GYWC 2025 membuktikan keupayaan institusi ini memacu standard profesionalisme kerja belia ke tahap lebih tinggi.

 

WYLTXAc~