
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
SERDANG, 11 November- Para pelajar bidang komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) disarankan untuk mengaplikasikan sepenuhnya ilmu dan kemahiran yang dipelajari dalam penghasilan kandungan media sosial agar penyampaian mesej lebih jelas, tepat dan berkesan.
Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM, Prof. Madya Dr. Dahlia Zawawi berkata, pelajar perlu didedahkan kepada kaedah penghasilan kandungan yang bermanfaat serta memahami peranan mereka sebagai pencipta kandungan dalam membentuk persepsi dan tingkah laku masyarakat.
“Para pelajar yang menyertai program anjuran PSPK UPM dapat memahami isu semasa dan trend terkini, sekali gus memastikan setiap aktiviti keterlihatan di media sosial digerakkan berasaskan ilmu,” katanya pada Bengkel Media Sosial: Memaksimumkan Media Sosial – Trend, Keselamatan dan Penggunaan Beretika, anjuran bersama UPM dan Media Selangor, baru-baru ini.
Menurut beliau, bengkel berkenaan membantu meningkatkan literasi digital pelajar agar mereka lebih peka terhadap elemen etika, ketepatan fakta dan pendekatan profesional ketika menghasilkan kandungan.
“Melalui pendedahan seperti ini, pelajar memperoleh pengetahuan yang lebih luas untuk menghasilkan kandungan secara betul, berlandaskan teori serta pengalaman yang dikongsikan oleh penceramah,” ujarnya.
Dalam masa sama, Dr. Dahlia berkata bengkel ini turut memperkukuh hubungan strategik antara UPM dan Media Selangor dalam usaha melahirkan graduan komunikasi yang bertanggungjawab, beretika dan mampu memberikan impak positif kepada masyarakat.






