| Universiti Putra Malaysia

UPM perkukuh peranan dalam keterjaminan makanan negara di Festival of Ideas 2025

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

PUTRAJAYA, 4 November – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh reputasinya sebagai peneraju penyelidikan dan inovasi dalam bidang keterjaminan makanan negara melalui penyertaan aktif di Festival of Ideas (FOI) 2025, hari ini.

 

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah juga menyertai sesi EM Chats Live Podcast sempena FOI 2025.

 

Beliau turut menghadiri majlis perasmian FOI 2025 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir.

 

Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan, berkata penglibatan aktif UPM dalam pelbagai komponen FOI 2025 mencerminkan kekuatan universiti sebagai institusi peneraju penyelidikan dan inovasi nasional, khususnya dalam bidang keterjaminan makanan.

 

“Pihak UPM terlibat dalam beberapa aspek penting, termasuk pameran keterjaminan makanan yang menonjolkan peranan universiti sebagai peneraju dalam agenda ini. Kita juga mempengerusikan Nexus Keterjaminan Makanan, satu perkembangan positif yang memperkukuh sumbangan UPM terhadap dasar dan penyelesaian isu sekuriti makanan negara,” katanya.

 

Tambah beliau, penyertaan UPM di FOI 2025 bukan sahaja memperlihatkan keupayaan penyelidikan secara langsung meletakkan universiti di mata pelbagai pihak melalui kepakaran akademik dan teknologi yang dimiliki.

 

“UPM membawa isu dan idea baharu yang mampu memberi nilai kepada penyelesaian masalah sebenar masyarakat. Saya berharap para penyelidik dapat memanfaatkan platform ini untuk berhubung dengan kementerian serta agensi yang relevan dalam bidang tumpuan masing-masing,” katanya.

 

Antara daya tarikan utama reruai UPM ialah Idea Vault UPM yang diterajui oleh Putra Science Park, mempamerkan pelbagai inovasi, paten dan penyelesaian yang berpotensi untuk dikomersialkan.

 

Selain itu, FOI kali ini menyaksikan penglibatan lebih 1,000 pelajar UPM, yang menyertai pelbagai aktiviti, bengkel dan sesi pameran.

 

Penyertaan tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami budaya ilmu di luar bilik kuliah serta memahami bagaimana idea, inovasi dan kolaborasi dapat diterjemahkan menjadi tindakan yang memberi impak kepada masyarakat.

 

Dalam pada itu, FOI 2025 bertemakan “MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea” berperanan sebagai platform nasional untuk merakyatkan idea dan mengangkat budaya ilmu sebagai teras kemajuan negara.

 

Penganjurannya turut menyokong aspirasi untuk menjadikan Putrajaya sebagai City of Ideas, pusat rujukan global bagi wacana intelektual dan inovasi, serta memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi dan pemikiran masa hadapan.

WYLUBA2~