
PUTRAJAYA, 9 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih tiga pengiktirafan pada Springer Nature Malaysian Open Science Excellence Awards (SN-MOSEA) 2026 apabila dua penyelidiknya memenangi Anugerah Artikel Akses Terbuka Terbaik 2026, manakala Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) menerima Anugerah Penghargaan Khas.
Prof. Dr. Soh Kim Geok dari Fakulti Pengajian Pendidikan memenangi kategori Medical and Health Sciences menerusi artikel bertajuk Effects of Strength Training on Neuromuscular Adaptations in the Development of Maximal Strength: A Systematic Review and Meta-Analysis.

Kajian tersebut meneliti kesan latihan kekuatan terhadap penyesuaian sistem neuromuskular dalam pembangunan kekuatan maksimum, sekali gus menyediakan rujukan saintifik kepada penyelidik dan pengamal dalam bidang sains sukan, latihan fizikal dan kesihatan.
Seorang lagi penyelidik UPM, Dr. Nur Faseeha Suhaimi dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, memenangi kategori Physical and Mathematical Sciences menerusi artikel Classroom Indoor Air Quality and Its Association with Sick Building Syndrome (SBS) Symptoms in a Malaysian University Setting.

Penyelidikan berkenaan mengkaji hubungan antara kualiti udara di dalam bilik kuliah dengan gejala Sindrom Bangunan Sakit dalam persekitaran universiti di Malaysia. Kajian itu mengetengahkan kepentingan persekitaran pembelajaran yang sihat dalam menjaga keselesaan dan kesejahteraan warga kampus.
Prof. Dr. Soh berkata pengiktirafan tersebut menjadi dorongan kepada pasukan penyelidik untuk terus menghasilkan kajian yang relevan dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja menghargai usaha pasukan penyelidik, malah menunjukkan pentingnya hasil kajian disampaikan secara terbuka supaya dapat dicapai dan dimanfaatkan dengan lebih meluas oleh penyelidik, pengamal profesional serta masyarakat di seluruh dunia,” katanya.
Pada majlis sama, PSAS menerima Anugerah Penghargaan Khas atau Token of Appreciation bagi kategori Rakan Penganjur sebagai pengiktirafan terhadap peranannya menjayakan SN-MOSEA 2026 bersama Springer Nature.

Penghargaan tersebut diterima oleh Ketua Pustakawan UPM, Haslina Abu Seman @ Talib. Penglibatan PSAS sebagai rakan penganjur mencerminkan peranan UPM dalam mendukung amalan Sains Terbuka atau Open Science serta memperluas capaian terhadap hasil penyelidikan.
Pencapaian itu menyerlahkan sumbangan UPM bukan sahaja melalui penghasilan penyelidikan merentas bidang, malah menerusi peranan institusi dalam menyokong perkongsian ilmu dan penerbitan akses terbuka pada peringkat nasional.
SN-MOSEA 2026 turut meraikan pelaksanaan Perjanjian Transformatif nasional pertama Malaysia di bawah Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi (KONSEPt). Majlis di Palm Garden Hotel itu menghimpunkan wakil Kementerian Pendidikan Tinggi, institusi pengajian tinggi, panel juri dan penyelidik dari seluruh negara.






