| Universiti Putra Malaysia

UPM perkasa terapi berasaskan alam melalui Program Bloom With Us: Rose & Sensory Garden Workshop 2026

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 16 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan usaha memperluas agenda keterangkuman sosial dan pembangunan komuniti menerusi penganjuran Program Bloom With Us: Rose & Sensory Garden Workshop 2026.

 

Program anjuran Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Putra-PDK (PUTRA-PDK) itu mengetengahkan pendekatan terapi berasaskan alam semula jadi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan persekitaran terapeutik yang menggabungkan elemen pendidikan, rangsangan deria dan interaksi dengan alam bagi menyokong perkembangan, pembelajaran serta kesejahteraan kanak-kanak berkeperluan khas.

 

Inisiatif berkenaan turut memperlihatkan peranan universiti dalam memperkasa agenda keterangkuman sosial melalui pendekatan yang semakin mendapat perhatian dalam bidang pendidikan khas, kesihatan dan pembangunan komuniti.


PUTRA-PDK ditubuhkan di UPM sebagai sebahagian daripada usaha menyokong aspirasi kerajaan memperluaskan pelaksanaan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di institusi pengajian tinggi awam.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata universiti komited memastikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terus diberi peluang membangunkan potensi diri dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

 

“Sebagai institusi pendidikan tinggi yang bertanggungjawab, kita mempunyai peranan penting untuk memastikan setiap individu, tanpa mengira keupayaan fizikal atau kognitif, berpeluang mengembangkan potensi diri dan menjalani kehidupan yang berkualiti,” katanya.

 

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM, Prof. Dr. Normala Ibrahim berkata program tersebut bukan sekadar aktiviti komuniti, sebaliknya menjadi platform yang menghimpunkan kepakaran universiti, penglibatan industri dan sokongan masyarakat dalam membentuk persekitaran yang lebih inklusif.

 

Beliau berharap pendekatan seumpama itu dapat diperluaskan menerusi lebih banyak kerjasama strategik yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan yang memerlukan sokongan berterusan.

 

Selain menyokong agenda kesejahteraan komuniti, pendekatan terapi berasaskan alam ini turut selari dengan usaha universiti menggalakkan pemindahan ilmu dan memperkukuh penerapan elemen pertanian pintar serta kelestarian dalam kehidupan masyarakat.

 

Ketua Program Bloom With Us: Rose & Sensory Garden Workshop, Dr. Siti Noraini Asmuri berkata taman sensori yang dibangunkan melalui program tersebut bakal menjadi ruang pembelajaran interaktif yang membantu merangsang pelbagai deria kanak-kanak.

 

Menurut beliau, kanak-kanak berpeluang meneroka pengalaman pembelajaran melalui rangsangan warna, tekstur tumbuhan, aroma bunga dan herba serta elemen sentuhan yang pelbagai dalam suasana yang lebih santai dan dekat dengan alam.

 

“Pendekatan ini bukan sahaja mewujudkan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, malah membantu membina keyakinan diri serta menyokong peningkatan kualiti hidup kanak-kanak secara menyeluruh,” katanya.

 

Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian teknik penanaman ros yang dikendalikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UPM, Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz serta pelbagai aktiviti interaktif bersama pelatih PUTRA-PDK.

 

 

 

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Pathmanathan A/L R. Nalasamy.

 

Dalam pada itu, pengajuran program ini adalah sejajar dengan sambutan Bulan Sinergi Putra UPM yang diraikan sepanjang bulan Jun, mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh kerjasama strategik antara institusi, industri, komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan.

XZGYKAY~