| Universiti Putra Malaysia

UPM ketengah peranan fungi dalam pemantauan alam sekitar

 

Oleh: Husnina Zahra Hadri

 

Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 27 Julai – Peranan fungi sebagai indikator biologi dalam pemantauan alam sekitar diketengahkan menerusi seminar dan bengkel Bringing Fungi into Environmental Monitoring anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama rakan kolaborasi antarabangsa bagi memperkukuh penyelidikan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar.

 

Program merupakan inisiatif bersama Jabatan Biologi, Fakulti Sains UPM dengan kerjasama Jabatan Mikrobiologi, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM, Imperial College London, Royal Botanic Gardens, Kew dan University-Driven Research Program (UDRP)-Biodiversity and Conversation, yang menghimpunkan pakar dan penyelidik dari pelbagai negara.

 

Program tersebut menerima pembiayaan menerusi Imperial Global Connect Fund, geran kompetitif yang dianugerahkan oleh Imperial College London kepada kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Dr. Martin Bidartondo (Imperial College London) dan Prof. Madya Dr. Nur Ain Izzati Mohd Zainudin (UPM).

 

Pengerusi Program, Prof. Madya Dr. Nur Ain Izzati Mohd Zainudin berkata, program itu menjadi platform strategik untuk mengetengahkan peranan fungi, khususnya kulat mikoriza, dalam penilaian modal semula jadi dan pemantauan alam sekitar menerusi perkongsian kepakaran.

 

 

“UPM komited untuk memperkukuh kerjasama penyelidikan antarabangsa dalam bidang biodiversiti dan kelestarian alam sekitar.

 

“Program ini menjadi platform strategik untuk mengetengahkan peranan fungi sebagai komponen penting dalam penilaian modal semula jadi dan pemantauan alam sekitar,” katanya.

 

Menurut beliau, pengisian program turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan teknik molekul, mikroskopi, kecerdasan buatan (AI) dan analisis biodiversiti dalam mengkaji interaksi antara akar tumbuhan dan mikoriza.

 

“Melalui perkongsian kepakaran, pemindahan ilmu dan pembangunan kapasiti penyelidik, kami berharap inisiatif ini dapat menyumbang kepada penyelesaian berasaskan sains dalam menangani cabaran perubahan iklim, memulihara biodiversiti serta memperkukuh pengurusan ekosistem secara mampan, khususnya di rantau tropika,” katanya.

 

 

Beliau berkata, kulat mikoriza kini semakin diiktiraf sebagai komponen penting dalam ekosistem daratan kerana berperanan meningkatkan penyerapan karbon dalam tanah serta menyokong kesihatan tumbuhan merentasi pelbagai jenis ekosistem.

 

 

Program selama dua hari berjaya menghimpunkan 25 penyelidik dari Malaysia, Filipina, Indonesia, United Kingdom (UK) dan Thailand dalam bengkel secara fizikal, manakala seminar secara hybrid menarik penyertaan seramai 86 peserta dari sembilan negara termasuk Amerika Syarikat (AS), India, Singapura, Tanzania dan Republik Dominican.

WZHbXAi~