
JERMAN, 3 November – Tiga pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah meraih dua pingat emas dan satu pingat gangsa pada International Exhibition of Ideas, Inventions and New Products (iENA) 2025 yang berlangsung di Exhibition Center Nuremberg, Hall 10 baru-baru ini.
Dua pingat emas tersebut diraih oleh Dr. Mohd Na’im Abdullah menerusi projek “CorroVision: AI Powered Binary Classifier for Corrosion Detection” dan Dr. Nur Izzah Nabilah Haris melalui “KarboVolt: Sustainable Biomass Based Supercapacitor.”
Menurut Dr. Mohd Na’im, kejayaan projek CorroVision membuktikan keupayaan penyelidik UPM dalam mengintegrasikan kecerdasan buatan bagi menyelesaikan cabaran sebenar industri.
“Inovasi ini membantu mengesan hakisan logam secara automatik dan dan dapat meramal baki jangka hayat bagi logam tersebut menggunakan teknologi AI, sekali gus menjimatkan masa, kos serta meningkatkan keselamatan dalam penyelenggaraan struktur industri,” katanya.
Sementara itu, Dr. Nur Izzah Nabilah Haris berkata inovasi KarboVolt merupakan usaha untuk membangunkan storan tenaga yang lestari berasaskan bahan biojisim tempatan.
“Kami berharap KarboVolt dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi tenaga hijau dan mampan, seiring dengan aspirasi negara menuju ekonomi rendah karbon dan inovasi berasaskan sumber tempatan,” ujarnya.
Prof. Madya Ir. Dr. Noor Azline Mohd Nasir pula menerima Pingat Gangsa melalui penyelidikan bertajuk “Concrete Eco-Patch: Zero-Cement Repair for a Greener Future”, yang memperkenalkan bahan pembaikan konkrit mesra alam untuk struktur bangunan, yang dihasilkan tanpa penggunaan simen bagi mengurangkan pelepasan karbon dalam industri pembinaan.
Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab. Kadir berkata, penyertaan UPM di iENA bukan sekadar memperkenalkan hasil inovasi kepada komuniti antarabangsa, malah membuka peluang kerjasama dengan institusi dan industri global.
“Platform seperti iENA menjadi medan penting untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
“UPM secara konsisten menyertai pameran ini setiap tahun sebagai usaha berterusan memperkukuh reputasi universiti sebagai institusi penyelidikan bertaraf dunia serta peneraju inovasi teknologi hijau, kejuruteraan dan sains termaju, katanya.”
iENA merupakan antara pameran inovasi paling berprestij di dunia, menghimpunkan ribuan penyelidik dan pencipta dari pelbagai negara bagi mempamerkan produk, teknologi dan idea berpotensi dikomersialkan.

.jpg)




