| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM perkasa pendidikan STEM rentas sempadan Malaysia–Indonesia

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 4 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Sains terus memperkukuh agenda pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat antarabangsa menerusi program mobiliti mahasiswa ke Malang, Indonesia yang melibatkan kerjasama strategik bersama Universitas Negeri Malang (UM) dan Universitas Brawijaya (UB), baru-baru ini.

 

Inisiatif itu bukan sahaja membuka ruang pertukaran ilmu dan pengalaman antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Indonesia, malah memperkukuh jaringan kerjasama serantau dalam usaha melahirkan generasi muda yang inovatif, kreatif dan celik teknologi.

 

Pengarah Projek, Muhammad Aliff Nazrullah Jamil berkata program mobiliti antarabangsa tersebut memberi pengalaman pembelajaran yang sangat bermakna kepada mahasiswa UPM.

 

“Kami mahu menunjukkan bahawa STEM bukan sesuatu yang sukar atau membosankan, sebaliknya bidang yang menyeronokkan, dekat dengan kehidupan dan mampu membuka peluang besar kepada masa depan generasi muda.

 

“Program ini juga memberi peluang kepada kami untuk memahami pendekatan pendidikan di Indonesia serta belajar menyesuaikan kaedah penyampaian ilmu mengikut latar belakang dan budaya pelajar yang berbeza,” katanya.

 

Pensyarah Jabatan Fizik, Fakulti Sains, UPM, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen, berkata program antarabangsa seperti itu penting dalam membentuk mahasiswa yang mempunyai kemahiran insaniah dan daya kepimpinan global.

 

“Penglibatan mahasiswa dalam program rentas negara dapat memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kreativiti mereka dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

 

Selain itu, program tersebut melibatkan lima pelajar UPM iaitu Muhammad Aliff Nazrullah Jamil, Muhammad Nazreen Samuri, Muhamad Aslah Mohamed Asri, Muhammad Danish Asfa Zaidi dan Muhamad Adam Ilman Amirrudin.

 

Sepanjang program, delegasi UPM mengadakan sesi diskusi akademik bersama pensyarah dan mahasiswa di Universitas Negeri Malang serta Universitas Brawijaya bagi membincangkan pendekatan inovatif dalam pendidikan STEM.

 

Pensyarah Universitas Negeri Malang, Prof. Dr. Ahmad Taufiq, berkata adalah penting pembelajaran berpusatkan pelajar, penggunaan teknologi terkini dalam pengajaran serta pendekatan menghubungkan konsep STEM dengan kehidupan harian.

 

“Pendidikan STEM perlu disampaikan dalam bentuk yang lebih dekat dengan realiti kehidupan pelajar supaya mereka dapat melihat kaitan sebenar antara ilmu yang dipelajari dengan dunia sekeliling,” katanya.

 

Delegasi UPM turut berpeluang meninjau penggunaan makmal berteknologi tinggi dan kaedah pembelajaran inovatif di Universitas Negeri Malang dan Universitas Brawijaya selain bertukar pandangan mengenai amalan terbaik dalam pendidikan STEM.

 

Kemuncak program tersebut diterjemahkan menerusi pelaksanaan aktiviti khidmat komuniti di Sekolah Dasar Anak Saleh, Malang yang memberi fokus kepada usaha menyemai minat terhadap STEM dalam kalangan murid sekolah rendah.

 

Program itu turut mendapat kerjasama lima mahasiswa Universitas Negeri Malang yang berganding bahu bersama delegasi UPM dalam mengendalikan aktiviti pembelajaran interaktif dan eksperimen sains secara hands-on.

 

Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah STEMRace yang menguji kemahiran menyelesaikan masalah, kreativiti dan kerja berpasukan melalui cabaran berasaskan sains dan teknologi, serta STEMagic yang memperkenalkan eksperimen sains secara interaktif menerusi elemen persembahan seperti “sulap”.

 

Kepala Sekolah SD Anak Saleh, Andreas Setiyono berkata pendekatan pembelajaran kreatif yang diketengahkan berjaya menarik minat murid terhadap STEM.

 

“Pelajar sangat teruja melihat eksperimen yang dijalankan kerana ia menyeronokkan dan mudah difahami. Aktiviti seperti STEMRace pula berjaya memupuk semangat kerjasama dan keberanian murid untuk berfikir secara kreatif dalam menyelesaikan cabaran.

 

“Kolaborasi antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia juga membuka ruang pertukaran idea serta pendekatan baharu dalam pendidikan STEM yang lebih kreatif dan relevan kepada generasi muda,” katanya.

 

 

WZGGJA~