| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM perkasa kesedaran alam sekitar kanak-kanak melalui Program Eco Warriors

Oleh: Nur Afrina Izzati Mokhta Za’bah

 

SHAH ALAM, 8 Julai –  Seramai 30 Pelajar Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkasa pendidikan alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak melalui Program Eco Warriors: Misi Jati Diri Hijau bagi menyemai budaya kelestarian dan semangat kesukarelawanan di peringkat komuniti.

 

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM serta Adab Youth Garage (AYG) itu dilaksanakan di Pusat Interaksi Belia PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam, melibatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun daripada komuniti setempat.

 

Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, peserta didedahkan kepada amalan kelestarian seperti pengasingan sisa, penghasilan kotak kitar semula, penanaman pokok serta aktiviti kreatif yang memupuk rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar sejak usia muda.

 

Program itu turut meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara ekosistem, mengamalkan penjimatan air serta menyokong penggunaan tenaga yang lebih lestari, selaras dengan usaha melahirkan masyarakat yang lebih peka terhadap isu perubahan iklim dan pemeliharaan sumber semula jadi.

 

Pengarah Program, Nur Afrina Izzati Mokhta Za’bah berkata, program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga alam sekitar, malah menjadi platform mahasiswa UPM mengaplikasikan nilai kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial bersama komuniti.

 

“Kami mahu membina keyakinan dalam diri kanak-kanak bahawa mereka mampu menjadi ‘Pahlawan Hijau’ yang memainkan peranan menjaga bumi dan melalui aktiviti interaktif seperti kraf daripada bahan kitar semula serta penanaman pokok kami berharap kesedaran ini akan terus kekal dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

 

Program itu juga memperkukuh hubungan strategik antara UPM, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat dalam menjayakan agenda pembangunan lestari.

Selain itu, program Eco Warriors mencerminkan komitmen pelajar UPM dalam memanfaatkan ilmu dan kepakaran untuk memperkasa komuniti serta menyokong agenda pembangunan lestari melalui pendidikan alam sekitar yang berimpak.

 

Fasilitator program, Siti Noor Alia Zaini berkata, sambutan positif peserta membuktikan pendidikan alam sekitar lebih berkesan apabila disampaikan secara interaktif.

 

“Kanak-kanak begitu teruja menyertai aktiviti mengasingkan sisa mengikut kategori tong kitar semula dan menanam pokok bunga raya. Pengalaman ini menunjukkan pendidikan alam sekitar mampu dipupuk melalui pembelajaran yang menyeronokkan,” katanya.

 

Rakannya, Roger Mark Madis, 24, berkata program tersebut berperanan sebagai ejen perubahan yang berkesan dalam memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR).

 

“Melalui aktiviti fizikal seperti projek Adopt A Plant dan pengasingan bahan terpakai kami berjaya menggalakkan kanak-kanak keluar daripada kebergantungan kepada gajet serta melibatkan diri dalam aktiviti yang lebih bermanfaat.

 

“Saya percaya pendedahan kepada amalan hijau sejak usia muda mampu melahirkan generasi belia yang bukan sahaja mencintai alam sekitar, malah menjadi ‘pahlawan alam sekitar’ yang akan menerajui usaha kelestarian pada masa hadapan,” katanya.

WZHWXAq~