Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 8 Oktober – Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Pengguna dari Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Ngo Zhen Hong berjaya mengharumkan nama universiti apabila melengkapkan projek penyelidikan di bawah program Australia-Malaysia Virtual PhD Internship dengan kerjasama Federation University, Australia, baru-baru ini.
Program berprestij ini melibatkan pemilihan pelajar daripada universiti awam seluruh negara untuk menjalani penyelidikan bersama penyelia dari Australia selama 12 minggu secara maya.
Ngo Zhen, 27, terpilih menyertai program ini dan menjalankan penyelidikan di bawah penyeliaan Prof. Madya Dr. Syuhaily Osman dan Prof. Madya Dr. Evita March.
“Saya telah didedahkan dengan budaya akademik berbeza, metodologi penyelidikan baharu serta pelbagai alat kajian yang memperkayakan kemahiran penyelidikan dan pengalaman ini bukan sahaja memperkukuh kompetensi akademik malah membuka ruang untuk menjalin hubungan bersama penyelidik antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, pendidikan beliau di UPM membolehkannya beliau menyesuaikan diri dengan lancar ketika berinteraksi dengan penyelia Australia.
“Pendidikan di universiti ini adalah setanding dengan piawaian antarabangsa serta memberi keyakinan kepada saya untuk turut serta secara aktif dalam perbincangan bersama penyelia dari Australia,” katanya.
Kejayaan beliau manis apabila Ngo Zhen dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pembentangan Lisan Terbaik semasa simposium yang berlangsung pada 12 September 2025 di Bangunan Suruhanjaya Tinggi Australia, Malaysia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua penyelianya atas tunjuk ajar dan bimbingan berharga sepanjang penyelidikan.
Dalam pada itu, program ini dianjurkan bersempena sambutan 70 tahun hubungan diplomatik Australia–Malaysia, sekali gus mengukuhkan kerjasama akademik antara kedua-dua negara.