| Universiti Putra Malaysia

Pakar UPM ketengah kepentingan protein berkualiti cegah sarkopenia

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Saleha Haron

 

SERDANG, 15 Mei - Pengambilan protein yang mencukupi dan berkualiti tinggi berserta pengagihan protein yang optimal perlu diberi perhatian serius sebagai strategi utama mencegah sarkopenia atau kehilangan jisim serta kekuatan otot khususnya dalam kalangan warga emas.

 

Pensyarah Jabatan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Chan Yoke Mun berkata, sarkopenia kini menjadi antara cabaran kesihatan awam utama susulan peningkatan populasi warga emas di seluruh dunia termasuk Malaysia.

 

Menurut beliau, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan kehilangan otot akibat peningkatan usia, malah memberi kesan besar terhadap fungsi fizikal, risiko jatuh, kemasukan ke hospital serta kualiti hidup yang rendah dalam kalangan warga emas.

 

“Malaysia sedang bergerak pantas ke arah negara menua apabila satu daripada setiap lima rakyat dijangka berusia 60 tahun ke atas menjelang tahun 2048, berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia serta perubahan demografi ini memberi implikasi besar terhadap sistem penjagaan kesihatan, produktiviti tenaga kerja dan pembangunan negara,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Inaugural bertajuk Nutrition for Resilient Ageing: Optimised Protein Strategies for Sarcopenia Prevention di sini.

 

Profesor Dr. Chan turut membentangkan bukti tempatan berkaitan pengesahan dan penentukuran soal selidik SARC-CalF sebagai alat saringan sarkopenia untuk warga emas di Malaysia.

 

Beliau menekankan kepentingan pengambilan protein secara optimum, pengagihan protein yang seimbang dalam setiap hidangan serta pengambilan leucine mencukupi bagi membantu merangsang sintesis protein otot.

 

“Pengambilan protein yang mencukupi khususnya asid amino seperti leucine dikenal pasti mampu mengaktifkan laluan mTOR yang berperanan merangsang sintesis protein otot sekali gus membantu meningkatkan jisim serta kekuatan otot,” katanya.

 

Menurut beliau, pengambilan protein yang disyorkan bagi warga emas ialah sekitar 0.4 gram protein bagi setiap kilogram berat badan dalam setiap hidangan.

 

“Sebagai contoh, warga emas dengan berat badan 50 kilogram memerlukan kira-kira 20 gram protein bagi setiap hidangan untuk memenuhi keperluan harian mereka,” katanya.

 

Selain itu, sumber protein berkualiti boleh diperoleh daripada makanan seperti daging lembu, ayam, ikan, telur, udang serta sumber berasaskan tumbuhan seperti tauhu, tempe, soya dan dhal bagi golongan vegetarian.

 

Profesor Dr. Chan berkata, peningkatan usia menyebabkan selera makan warga emas semakin berkurangan akibat perubahan fisiologi menyukarkan mereka mendapatkan pengambilan makanan berkualiti secara mencukupi.

 

“Jika sukar mengambil makanan pejal, alternatif seperti susu, minuman berasaskan soya atau jus berprotein boleh diambil selain penggunaan suplemen pemakanan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Profesor Dr. Chan berkata, masalah kehilangan otot bukan sahaja berlaku dalam kalangan warga emas malah boleh menjejaskan golongan belia disebabkan faktor kurang aktiviti fizikal dan amalan pemakanan tidak seimbang.

 

“Kehilangan otot sebenarnya boleh bermula seawal usia 30 tahun dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja jika aspek pemakanan serta aktiviti fizikal tidak dijaga dengan baik,” katanya.

 

Beliau berkata, pendedahan awal serta pendidikan pemakanan yang mencukupi amat penting dalam usaha mengurangkan risiko lebih ramai individu mengalami masalah sarkopenia pada masa akan datang.

 

“Langkah ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan otot sejak usia muda sekali gus membantu mengurangkan risiko sarkopenia serta meningkatkan kualiti hidup,” katanya.

 

WZGLHAv~