
PUTRAJAYA, 30 Julai - Dua pegawai Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Aiman Mohd Anuar dan Nur Nadhirah Zunaidi, dilantik sebagai RakanKPT bagi sesi 2026/2027 untuk membantu menyampaikan agenda pendidikan tinggi negara secara tepat, pantas dan berasaskan fakta kepada masyarakat.
Muhammad Aiman merupakan Pegawai Pertanian manakala Nur Nadhirah ialah Penolong Pegawai Veterinar di Pusat Pertanian Putra, UPM.
Pelantikan itu diumumkan sempena Bengkel Pemantapan RakanKPT Siri 1 Tahun 2026 yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim di Putrajaya, semalam.
Mereka adalah antara 50 individu yang dilantik sebagai RakanKPT, membabitkan dua wakil daripada setiap universiti awam serta 10 wakil Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Aminuddin berkata, RakanKPT berperanan sebagai penghubung strategik yang membawa maklumat mengenai dasar, bantuan, program, inisiatif dan peluang pendidikan tinggi lebih dekat kepada masyarakat.
“RakanKPT bukan sekadar menyebarkan maklumat, malah perlu menjadi jambatan komunikasi dua hala antara Kementerian dengan masyarakat. Setiap maklumat hendaklah disampaikan secara jelas, beretika dan bersandarkan fakta daripada sumber rasmi.
“Keupayaan mereka mendekati pelbagai lapisan masyarakat melalui media sosial amat penting bagi memastikan agenda pendidikan tinggi difahami hingga ke peringkat akar umbi, di samping membantu menjelaskan kekeliruan serta menangkis penyebaran maklumat tidak tepat,” katanya.
RakanKPT akan bertindak sebagai duta rasmi Kementerian di institusi masing-masing dengan memanfaatkan platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, X dan Threads bagi memperluas capaian maklumat.
Inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keterlihatan institusi pendidikan tinggi, mengetengahkan kepakaran warga akademik serta menyampaikan maklumat dalam bahasa yang mudah difahami dan kreatif.

Muhammad Aiman berkata, pelantikan tersebut merupakan amanah untuk membantu masyarakat memahami peranan institusi pendidikan tinggi serta manfaat pelbagai dasar dan inisiatif KPT.
“Pelantikan ini bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi tanggungjawab untuk memastikan setiap kandungan yang disampaikan tepat, mudah difahami dan relevan kepada masyarakat.
“Sebagai wakil UPM yang terlibat secara langsung dalam bidang pertanian dan veterinar, kami juga mahu mengetengahkan sumbangan ilmu, teknologi serta kepakaran universiti kepada sektor pertanian, keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat,” katanya mewakili RakanKPT UPM.
Beliau berkata, pendekatan komunikasi yang dekat dengan masyarakat juga membuka ruang untuk maklum balas akar umbi disalurkan kepada pihak berkaitan secara bertanggungjawab.
Pelantikan kedua-dua pegawai Pusat Pertanian Putra itu sekali gus memberi nilai tambah kepada usaha UPM memperluas perkongsian ilmu dan memperlihatkan impak kepakarannya sebagai universiti peneraju pertanian dan keterjaminan makanan.



.jpg)


