Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
Foto Oleh: Saleha Haron
SERDANG, 8 Oktober - Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melancarkan Majlis Pelancaran Bulan Akademia Putra 2025 bagi meraikan peranan, sumbangan dan pencapaian warga akademia dalam mengangkat martabat ilmu, baru-baru ini.
Majlis bertemakan ‘Akademia Dinamik Memacu Inovasi Lestari’ itu bertujuan mencerminkan aspirasi UPM untuk terus melahirkan akademia yang berdaya saing, menginspirasi masyarakat dengan ilmu serta mendokong pembangunan lestari melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, peranan akademia bukanlah kecil kerana ia adalah peranan strategik dan abadi.
“Sebagai warga akademia, kita mewarisi sebuah tanggungjawab besar dalam memastikan universiti terus menerangi masyarakat, benteng nilai dalam mempertahankan kebenaran dan medan pemikiran yang membentuk masa depan bangsa dan dunia,” katanya.
Tambah beliau, universiti tidak lahir untuk menjadi muzium ilmu, malah menjadi makmal masyarakat tempat bagi idea-idea baharu diuji, pengetahuan diperbaharui dan nilai diterapkan.
“Universiti berperanan menyesuaikan kurikulum dengan teknologi baharu di zaman dunia era revolusi industri,” katanya semasa di Dewan Taklimat UPM, Serdang, UPM.
Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADE-LEAD), Dr. Wan Zuhainis Saad berkata, Bulan Akademia Putra 2025 merupakan platform tahunan untuk menghargai dedikasi dan kecemerlangan warga akademik dalam pelbagai bidang termasuk pengajaran, penyelidikan, penerbitan serta khidmat masyarakat.
“Program ini bukan sekadar meraikan kejayaan tetapi menjadi ruang bagi warga akademia berkongsi ilmu, membina jaringan kerjasama dan memperkukuh budaya inovasi dalam kalangan pensyarah serta penyelidik,” katanya.