| Universiti Putra Malaysia

Bekas penerjun negara Datuk Leong Mun Yee terima Master

Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 26 November – Selepas lima tahun, bekas atlet penerjun negara, Datuk Leong Mun Yee berasa bersyukur berjaya menggenggam Master Komunikasi Korporat, Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini. 

Mun Yee menerima Master daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Konvokesyen UPM ke-46 Sidang 2 yang berlangsung di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj, UPM. 

Beliau sebelum ini telah bergraduat dalam Bacelor Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM pada tahun 2017.

Mun Yee berkata walaupun beliau memerlukan masa untuk menghabiskan pengajian, untuk saya ianya satu cabaran serta menjadi kekuatannya untuk terus cekal menimba ilmu. 

“Perancangan saya akan datang jika berpeluang saya ingin untuk menyambung pengajian saya ke peringkat Sarjana dalam bidang Psikologi Sukan bagi memperlengkapkan lagi ilmu pengetahuan saya,” katanya. 

Beliau berkata, sebagai alumni UPM yang telah hampir 15 tahun berada di kampus hijau ini telah memberikan beliau kenangan manis serta mempelajari pelbagai pengalaman baharu yang dapat dimanfaatkan oleh beliau. 

Perkembangan masa kini, Mun Yee berkhidmat sebagai jurulatih untuk skuad terjun negara. 

Antara pencapaiannya ialah memenangi pingat gangsa Kejohanan Dunia di Rome 2009, Barcelona 2013, pingat perak Sukan Komanwel Delhi 2010 dan pingat perak World Series di Beijing 2011 serta bersama dengan Pandelela Rinong memenangi pingat emas FINA Diving Grand Prix Kuala Lumpur 2017.

Di peringkat Asia, beliau memenangi dua pingat perak di Guangzhou 2010 dan gangsa di Incheon 2014, selain memperoleh keseluruhannya 17 pingat emas sepanjang  temasya Sukan SEA sejak Kuala Lumpur 2001.

Beliau juga menyertai lima siri Sukan Olimpik berturut-turut. - UPM

SXDcSA2~