| Universiti Putra Malaysia

URIIS 2026 pacu ekosistem penyelidikan dan inovasi ke arah pelaburan bernilai tinggi

 

PUTRAJAYA, 6 Nov – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan pra-pelancaran University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026, sebuah inisiatif nasional berimpak tinggi yang bakal memacu transformasi penyelidikan universiti ke arah pelaburan bernilai tinggi serta impak sosioekonomi mampan.

 

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, disaksikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Pengarah Eksekutif MIDA, serta Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah.

 

Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan berkata, URIIS 2026 akan menjadi platform strategik yang menghimpunkan pemimpin akademik, industri dan pelabur bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan negara serta memperluas potensi inovasi pendidikan tinggi Malaysia di peringkat global.

 

“Universiti bukan sekadar pusat pembelajaran, tetapi pemangkin transformasi yang membentuk industri, menyemai komuniti dan menentukan masa depan negara. Melalui URIIS, kita ingin membina jambatan kukuh antara kecemerlangan penyelidikan universiti dengan keperluan industri dan keyakinan pelabur,” katanya.

 

 

Beliau menjelaskan bahawa inisiatif ini sejajar dengan agenda nasional seperti Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Peta Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

 

“Setiap pelaburan dalam penyelidikan perlu diterjemahkan kepada inovasi yang mencipta pekerjaan, membangunkan bakat serta memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia,” jelasnya.

 

Sebagai sekretariat pelaksanaan Research 2026, UPM dipertanggungjawab menyelaras pelaksanaan inisiatif tersebut dengan sokongan Jabatan Pendidikan Tinggi, universiti awam dan swasta, serta rakan strategik termasuk MIDA, NCIA, RECODA, SEDIA, InvestKL dan InvestPenang.

 

Sementara itu, Ketua Seksyen Kolaborasi Strategik Industri CiRNeT UPM, Zaidi Tajuddin, berkata URIIS 2026 akan menjadi platform pertama melibatkan 20 universiti awam di Malaysia dengan objektif menarik pelaburan langsung daripada industri terhadap hasil penyelidikan universiti.

 

“URIIS bukan sekadar sidang kemuncak penyelidikan, tetapi pemangkin kepada budaya pelaburan dalam inovasi. Program ini membuka ruang kepada industri untuk melabur secara langsung dalam projek penyelidikan dan pembangunan universiti, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan,” katanya.

 

Beliau menambah bahawa URIIS 2026 mencerminkan pendekatan “Whole-of-Nation”, menggabungkan kekuatan akademia, industri dan kerajaan dalam usaha menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam inovasi berasaskan penyelidikan.

 

“Lebih daripada sekadar sidang kemuncak, URIIS 2026 ialah gerakan nasional yang menjadikan pengetahuan sebagai asas penciptaan nilai dan inovasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi. Ia menghubungkan dunia pendidikan dengan ekonomi, serta menyatukan aspirasi negara menuju masa depan yang makmur dan berdaya tahan,” katanya.

 

Program URIIS 2026 dijadual dilancarkan secara rasmi tahun hadapan dan dijangka menjadi mercu tanda baharu dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan universiti yang berorientasikan pelaburan strategik dan berimpak tinggi terhadap pembangunan sosioekonomi negara.

WYLHOA5~