| Universiti Putra Malaysia

UPM perkasa usaha negara tangani rintangan antimikrob dalam sektor akuakultur

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

SERDANG, 15 Okt – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh peranan negara dalam menangani isu rintangan antimikrob (AMR) melalui pendekatan bersepadu bagi memastikan kelestarian sektor akuakultur, keselamatan makanan dan kesejahteraan awam.

 

Pendekatan ‘One Health’ menjadi teras kepada usaha ini yang menekankan kerjasama rentas disiplin antara saintis, penggubal dasar, penggiat industri serta agensi kerajaan bagi mencari penyelesaian menyeluruh dan lestari terhadap ancaman AMR.

 

Isu ini menjadi tumpuan utama Focused Group Meeting (FGM) on Aquatic Animal Health & Therapeutics: Addressing AMR Challenges in Malaysian Aquaculture yang dianjurkan bersama oleh Institut Biosains (IBS) dan Fakulti Pertanian, UPM, dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Persatuan Perikanan Malaysia (MFS), serta mendapat sokongan International Development Research Centre (IDRC), Kanada dan Global AMR Innovation Fund (GAMRIF) di bawah UK Department of Health and Social Care (UK DHSC), baru-baru ini.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata tindakan bersepadu amat penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap antibiotik dalam aktiviti akuakultur.

 

 

“Sektor akuakultur memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan negara, namun ia juga berdepan risiko penyakit akibat amalan penternakan intensif. Penggunaan antibiotik secara berlebihan mempercepatkan penyebaran AMR yang akhirnya mengancam kehidupan akuatik, alam sekitar dan kesihatan manusia,” katanya.

 

Tambah beliau, penganjuran ini mencerminkan komitmen UPM terhadap kerangka One Health yang menghubungkan kesihatan haiwan, manusia dan alam sekitar melalui penyelidikan berimpak serta integrasi dasar awam yang berasaskan bukti.

 

“Penganjuran ini mengukuhkan peranan UPM sebagai universiti penyelidikan bertaraf antarabangsa yang menerajui inisiatif One Health dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, keselamatan makanan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

 

Selain itu, mesyuarat dua hari itu menghimpunkan para saintis terkemuka, penggubal dasar, pengawal selia serta wakil industri akuakultur bagi membincangkan cabaran global AMR yang semakin kritikal terhadap keselamatan makanan dan keseimbangan ekosistem akuatik.

 

Pengarah IBS UPM, Prof. Dr. Zunita Zakaria, berkata platform ini menjadi wadah penting untuk perkongsian ilmu dan pengalaman dalam merangka strategi mitigasi AMR yang mampan.

 

 

“Sebagai Higher Institution Centre of Excellence (HICoE) yang menerajui penyelidikan pelbagai disiplin berkaitan AMR IBS komited memperkukuh inovasi dan kerjasama strategik bagi melindungi kesihatan haiwan akuatik dan ekosistemnya,” katanya.

 

Pengerusi FGM, Prof. Dr. Natrah Fatin Mohd Ikhsan, yang juga Ketua Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian UPM, berkata usaha membanteras AMR menuntut kerjasama rentas sektor secara menyeluruh.

 

 

“Kemajuan bermakna hanya dapat dicapai apabila sains, dasar dan amalan berganding bahu. Platform seperti ini amat penting untuk membangunkan penyelesaian inovatif berasaskan bukti,” katanya.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan IDRC Kanada dan GAMRIF (UK DHSC) melalui projek Innovet-AMR 1.0 dan Innovet-AMR 2.0, yang menjadi pemangkin kepada pembangunan kapasiti penyelidikan dan dasar dalam menangani AMR di Malaysia.

 

Dalam pada itu, usaha ini sejajar dengan komitmen UPM untuk terus memperkasa sains guna menangani cabaran global yang memberi kesan langsung kepada kehidupan manusia dan ekosistem semula jadi.

WYKQSAf~