Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
MELAKA, 2 Oktober - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (i-AQUAS) telah merasmikan “Final Report with Sharing Session with Community” bagi Program Translasional 2023 yang bertajuk “Empowering Social Transformation through Aquaculture: High-Value Blue Swimming Crab Seed Program for the Sungai Rambai Community”.
Program yang berfokuskan komitmen bersamabagi mengukuhkan kerjasama antara universiti, agensi kerajaan dan komuniti untuk memberi kesedaran kepada komuniti nelayan terhadap penternakan ketam biru iaitu ketam renjong sebagai sumber ekonomi pendapatan tambahan.
Ketua Projek, Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris berkata, program ini memberi ruang dalam meningkatkan hasil tangkapan nelayan melalui penambahan stok ketam biru bernilai tinggi, serta memperkukuh ilmu, kemahiran dan keyakinan komuniti dalam bidang akuakultur yang mampan.
“ i-AQUAS UPM akan terus komited dalam memastikan ilmu dan teknologi yang dibangunkan dapat dimanfaatkan masyarakat setempat, selaras dengan aspirasi universiti dalam memacu pembangunan komuniti berteraskan ilmu,” katanya
Adun Sungai Rambai, Datuk Siti Faizah Abdul Azis, berkata program ini telah berlangsung sejak tahun 2023 untuk mempromosikan transformasi sosial dalam komuniti perikanan di Sungai Rambai melalui program penambahan stok bagi meningkatkan mata pencarian dan pembangunan ekonomi.
“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan hasil tangkapan nelayan malah membina pengetahuan serta kemahiran mereka.
“Kejayaan ini menunjukkan bahawa komuniti nelayan Sungai Rambai merupakan penerima manfaat serta rakan strategik dalam memastikan kelestarian sumber laut kita,” katanya.
Persatuan Nelayan Kawasan Jasin, Mohd Sah Hashim, berkata inisiatif pelepasan benih ketam biru yang dilaksanakan menerusi program ini memberi harapan baharu kepada komuniti nelayan Sungai Rambai.
“Setelah adanya pelepasan benih ketam biru ke perairan kami mula melihat potensi peningkatan hasil tangkapan,” katanya.