| Universiti Putra Malaysia

SBE UPM INSTITUSI PERTAMA DAN SATU-SATUNYA DI MALAYSIA PEROLEH PENGIKTIRAFAN TRIPLE CROWN BERTARAF DUNIA

 

KUALA LUMPUR, 29 Mei  - Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE), Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta sejarah merupakan sekolah peniagaan dan ekonomi  pertama dan satu-satunya di Malaysia menerima pengiktirafan daripada Association of MBAs (AMBA), sekali gus melengkapkan status Triple Crown Accreditation, gabungan tiga badan akreditasi perniagaan terkemuka dunia, iaitu AMBA (UK), AACSB (Amerika Syarikat), dan EQUIS (Eropah).

 

Dengan pencapaian ini, SBE UPM antara 120 sekolah perniagaan di dunia (daripada lebih 13,000 institusi) yang memperoleh pengiktirafan bertaraf antarabangsa tersebut, sekali gus meletakkan SBE, UPM sebaris dengan institusi ternama dunia seperti London Business School, INSEAD dan HEC Paris.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, akreditasi  ini membuktikan bahawa universiti awam Malaysia mampu mencapai standard pendidikan bertaraf dunia.

 

“Ini selari dengan aspirasi UPM untuk menjadi universiti bereputasi tinggi serta menyokong usaha negara dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global,” katanya yang ditemui dalam Program KARISMA Pemikir MADANI Kepimpinan Tinggi UPM anjuran UPM bersama Akademi Kenegaraan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini.

 

 

Tambah beliau, pencapaian ini turut menyumbang kepada matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) dalam memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

 

“Status ini juga memberi kelebihan strategik kepada SBE, UPM dalam menarik penyelidik, pensyarah dan pelajar berkualiti tinggi dari seluruh dunia, serta memperluas jaringan kerjasama industri dan akademik di peringkat global,” katanya.

 

Dekan SBE, UPM, Prof. Dr. Bany Ariffin Amin Noordin menyatakan bahawa pencapaian ini adalah bukti pengiktirafan antarabangsa terhadap dedikasi keseluruhan ekosistem akademik SBE dan UPM.

 

“Kami juga komited untuk menjadi peneraju pendidikan perniagaan di Asia Tenggara dan terus menyumbang kepada pembangunan negara melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi yang berorientasikan masa depan,” katanya.

 

WYICOAf~