| Universiti Putra Malaysia

Naib Canselor UPM Terima Anugerah “Leader of the Decade” sempena Women Economic Forum (WEF) ASEAN 2025

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 1 Ogos – Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah telah dianugerahkan “Leader of the Decade” sempena Women Economic Forum (WEF) ASEAN 2025.

 

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Presiden WEF ASEAN, Datin Dr. (H.C.) Hajah Hartini Osman, sebagai penghargaan kepada tokoh kepimpinan yang memberi impak signifikan bukan sahaja dalam memperkukuh reputasi UPM di peringkat antarabangsa, malah turut memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan dan pembangunan inklusif.

 

Antara inisiatif yang menjadi asas kepada pengiktirafan ini termasuklah pelaksanaan True North UPM, Blueprint Keterjaminan Makanan UPM, serta Inisiatif PUTRA (Pertanian Untuk Rakyat) yang memfokus kepada kesejahteraan masyarakat dan kelestarian masa hadapan.

 

Sebelum ini, WEF ASEAN 2025 telah diadakan dari 19 hingga 21 Jun lalu di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kuala Lumpur.

 

Mengulas mengenai penghargaan tersebut, Dato’ Prof. Ir. Ahmad Farhan berkata pengiktirafan ini menunjukkan bahawa usaha yang dilakukan UPM sudah mula memberi kesan dan dihargai oleh komunit

 

“Ini turut menyuntik motivasi untuk terus aktif menyumbang ke arah menyelesaikan isu-isu masyarakat dan harapan saya agar ini menjadi dorongan kepada warga UPM untuk terus menghayati moto ‘Berilmu Berbakti’ dalam melahirkan bakat yang berkualiti,” katanya.

 

Dalam pada itu, Women Economic Forum (WEF) merupakan platform persidangan global anjuran ALL Ladies League (ALL) yang menghimpunkan tokoh wanita dan lelaki dari seluruh dunia untuk menjalin kerjasama strategik serta memacu kepimpinan dan inovasi dalam pelbagai bidang.

WZDRWA~