SERDANG, 2 Julai – Seramai 20 orang pelajar Bacelor Sains dan Teknologi Alam Sekitar dengan Kepujian, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) berpeluang menyaksikan prosiding kes pencemaran secara langsung bagi mendalami sistem kehakiman kes alam sekitar dalam Program Eksplorasi Mahkamah yang berlangsung di Kompleks Mahkamah Seremban, baru-baru ini.
Program pembelajaran lapangan ini dianjurkan melalui kursus ESC4803 Komunikasi Saintifik dalam Alam Sekitar turut mendapat kerjasama dari Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL), Mahkamah Sesyen Seremban dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan.
Pensyarah kursus, Prof. Madya Dr. Ferdius @ Ferdaus Mohamat Yusuff berkata, pendekatan pembelajaran seperti ini memberi impak besar kepada pelajar kerana mereka dapat menghubungkan teori dengan situasi sebenar di mahkamah.
“Pengalaman menyaksikan kes sebenar yang melibatkan pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memberi perspektif baharu kepada pelajar yang selama ini hanya menelaah kandungan secara teori. Inilah nilai pembelajaran berimpak tinggi yang kami usahakan,” katanya.
Penyelaras program, Dr. Zufarzaana Zulkeflee yang juga pensyarah kursus berkata, kepentingan pelajar memahami bukan sahaja aspek teknikal tetapi juga dimensi dasar dan perundangan yang berkait rapat dengan alam sekitar.
“Kami mahu membina graduan yang bukan sahaja mahir dari segi teknikal malah memahami implikasi undang-undang dan dasar kepada alam sekitar. Ini adalah tunjang kepada pembangunan lestari,” katanya.
Selain itu, lawatan ini disertai dua orang pensyarah kursus dan empat pensyarah pengiring.
Sepanjang program, pelajar diberi akses ke Galeri Awam Mahkamah Sesyen 3 untuk menyaksikan prosiding sebutan kes sebenar serta rakaman perbicaraan melibatkan pencemaran alam sekitar, sekali gus memberi pengalaman autentik dan mendalam mengenai proses kehakiman negara.
Dalam pada itu, UPM menerusi inisiatif sebegini menyasarkan lebih banyak jalinan kolaborasi antara institusi kehakiman, agensi penguatkuasaan dan institusi pendidikan tinggi bagi melahirkan graduan yang celik dasar, cakna undang-undang dan peduli terhadap kelestarian alam sekitar.