| Universiti Putra Malaysia

Jurulatih PALAPES tekankan seni dan disiplin kawad

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 11 September – Seni dan disiplin kawad menjadi asas utama dalam membentuk pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di universiti awam termasuk di Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Sarjan Major Rejimen (SMR) PALAPES UPM, Ahmad Zakeria Rajaie, berkata fungsi SMR adalah sebagai lambang regimental sesebuah pasukan.

 

“SMR bertanggungjawab terhadap keseluruhan urusan regimental daripada pentadbiran hingga kawad dan disiplin anggota serta kadet,” katanya.

 

Beliau yang berpengalaman lebih 23 tahun dalam bidang ketenteraan dan enam tahun sebagai SMR, berkata seni kawad Tentera Darat Malaysia banyak dipengaruhi tradisi British tetapi mempunyai keunikan tersendiri.

 

“Kawad kita juga diselaraskan mengikut acara tertentu. Misalnya, dalam Istiadat Pentauliahan, penghormatan khusus diberikan kepada pegawai kadet yang baru ditauliahkan,” katanya.

 

Tambah beliau, dalam Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-43 Tahun 2025, pegawai kadet akan mempersembahkan kawad kaki dan kawad senjata.

 

“Latihan dijalankan dengan pakaian nombor tiga manakala perbarisan istiadat menggunakan pakaian rasmi nombor satu,” katanya

 

Ahmad Zakeria yang pernah berkhidmat dalam Kor Polis Tentera Diraja mengakui kadet UPM memiliki daya tahan, disiplin tinggi dan ramai yang meneruskan kerjaya dalam bidang ketenteraan.

 

“Saya melihat semangat pegawai kadet PALAPES UPM ini kental dan mereka juga merujuk kepada saya apabila memerlukan maklumat mengenai ilmu kententeraan,” katanya.

 

Bagi Jurulatih Persenjataan PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM), BM PAP (GI) Razman Keladi, berkata seni kawad Tentera Laut mempunyai keunikan tersendiri.

 

“Bezanya kawad laut ialah kami menyeret kaki, tidak menghentak seperti tentera darat dan udara. Gaya ini datang daripada faktor pergerakan di atas kapal,” katanya.

 

Razman yang mengikuti kursus kawad selama enam bulan di Kem Askar Pelanduk, Perak berkata, latihan bukan sahaja melibatkan kawad tetapi juga persenjataan malah turut menampilkan variasi seperti formasi bergambar dalam acara tertentu.

 

“Latihan kawad mendisiplinkan kadet untuk bekerja secara berkumpulan. Walaupun saya bertegas dalam melatih saya tetap memberi penerangan dan motivasi untuk mereka menjadi lebih baik,” katanya.

 

Sementara itu, Tentera Udara, Pegawai Tak Tauliah Kanan (PTTK) PALAPES Udara, Sarjan U Remy Izan Yaacob, berkata kepentingan kawad untuk menyeragamkan disiplin anggota.

 

“Cara kawad tentera udara hampir sama dengan tentera darat, melibatkan kawad berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat mengikut arahan,” katanya.

 

Beliau yang sudah 20 tahun dalam perkhidmatan dan empat tahun melatih PALAPES turut menerangkan penggunaan tongkat penyukat iaitu kayu khas bagi mengukur jarak di padang kawad.

 

“Kursus kawad tentera udara biasanya sebulan. Tongkat penyukat digunakan oleh jurulatih bertauliah untuk memastikan kawad tepat dan seragam,” katanya.

 

Dalam pada itu, ketiga-tiga jurulatih ini bersependapat bahawa seni kawad bukan sekadar rutin ketenteraan, tetapi adalah latihan disiplin, kepimpinan dan kerjasama. Harapan mereka agar setiap kadet PALAPES akan muncul sebagai pemimpin berdisiplin, berintegriti dan mampu menyumbang kepada negara.

 

WYJMWA1~