
Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 1 Disember - Berada di trimester akhir kehamilan bukan alasan bagi Nur Ain Fitriah Zamrisham, 27, dari Pekan, Pahang, untuk berundur daripada dunia akademik apabila beliau berjaya menamatkan pengajian Sarjana Kejuruteraan Alam Sekitar di Universiti Putra Malaysia (UPM), hanya seminggu sebelum melahirkan anak pertamanya.
Dalam keadaan sarat mengandung, Nur Ain tetap cekal menyiapkan tesis sehingga ke peringkat akhir dan menyerahkannya dalam bentuk hardbound kira-kira seminggu sebelum kelahiran puteri sulungnya, Adelia.
“Saya berasa lega, bersyukur dan bangga kerana berjaya mengharungi pengajian ini. Kejayaan ini bukan sahaja untuk diri saya, tetapi juga untuk ibu bapa dan suami,” katanya ketika ditemui.

Sepanjang pengajian, Nur Ain turut berkhidmat sebagai pembantu penyelidik (Research Assistant) dalam projek Tenaga Nasional Berhad (TNB), sekali gus memperkukuh pengetahuannya dalam bidang rawatan air sisa di samping menampung perbelanjaan harian melalui elaun bulanan.
Tidak terhenti di situ, beliau juga melakukan kerja sambilan sebagai guru tuisyen, mengajar subjek Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.
Gabungan tanggungjawab sebagai pelajar sarjana, pembantu penyelidik, guru tuisyen dan ibu hamil menjadikan pengalaman tersebut suatu perjalanan yang menuntut disiplin tinggi, kekuatan mental dan pengurusan masa yang tersusun.
“Pendekatan utama saya adalah dengan menyusun jadual yang teratur, mengekalkan disiplin diri serta memastikan waktu rehat yang mencukupi demi menjaga kesihatan bayi.
“Pengalaman ini mengajar saya bahawa wanita memiliki kekuatan yang luar biasa,” ujar beliau.
Nur Ain turut menegaskan bahawa wanita lain juga mampu mencapai kejayaan walaupun berdepan cabaran besar dalam hidup.
“Dengan perancangan yang rapi, disiplin diri serta sokongan keluarga dan rakan-rakan, tiada apa yang mustahil untuk dicapai.
“Saya belajar bahawa kekuatan seorang wanita jauh melebihi apa yang kita sangkakan, terutama ketika mengandung, bekerja dan menuntut ilmu pada masa yang sama,” tambahnya.






