| Universiti Putra Malaysia

IKP UPM tingkatkan kerjasama dengan Industri dan Agensi Kerajaan melalui Penganjuran Program Melon to Million

SERDANG, 16 Julai- Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Melon to Million dibawah skim Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) melalui Institut Kajian Perladangan (IKP) dengan kerjasama KMK Agro Global Sdn Bhd.


Program ini dijalankan melalui penanaman Rock Melon sebagai salah satu tanaman komersil berharga dengan permintaan yang tinggi di pasaran tempatan dan global.

Pengarah Institut Kajian Perladangan (IKP), UPM, Prof. Ts. Dr. Siti Khairunniza Bejo berkata, program ini merupakan inisiatif UPM dibawah IKP UPM bersama syarikat KMK Agro Global Sdn Bhd dengan tajaan sepenuhnya dari Kerajaan Negeri Melaka dan Kerajaan Persekutuan.

"Matlamat IKP UPM adalah untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menceburi bidang pertanian sebagai persediaan menghadapi krisis makanan. Pada mulanya seseorang itu berminat menjadikan aktiviti bertani sebagai hobi dan suka-suka, namun selepas itu pertanian mampu menjana pendapatan dengan hasil sendiri.

"Pada program ini, UPM akan memberi perkongsian ilmu secara teori selama lima hari di UPM dan aktiviti di lapangan iaitu di Ladang Melon KMK Agro Global Sdn Bhd di Banting selama 10 hingga 12 minggu.

"Kami berharap para peserta dapat mengambil manfaat dari pengisian program ini yang melibatkan aspek pengurusan kebun sehinggalah ke perniagaan merangkumi pengurusan kewangan dan pemasaran produk," katanya.

Program ini merupakan usahasama Kerajaan Negeri Melaka dan Kerajaan Persekutuan bersama UPM dan KMK Agro Global Sdn Bhd bagi membantu 100 orang peserta mengusahakan tanaman rock melon di ladang-ladang terpilih sekitar Melaka.

Exco Kemajuan Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, peserta program ini berpeluang menanam sendiri sebanyak 1000 anak pokok rock melon seterusnya dapat menikmati hasil jualan tanaman mereka.

"Para peserta yang menyertai program ini akan didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan berkaitan pengurusan ladang meliputi aspek pengurusan tanah dan pembajaan, pengawalan perosak dan penyakit pokok, mekanisasi ladang dan teknologi pasca tuai, dan pengurusan perniagaan," katanya.

Sementara itu, peserta Program Melon to Million, Saharudin Ab. Rashid berkata, program ini dapat membantu pekebun kecil sepertinya menguruskan ladang dengan lebih baik.

WYHIOA~