| Universiti Putra Malaysia

Guru jadi inspirasi Siti Arifah lanjut pengajian bidang pendidikan sains pertanian di UPM

 

SERDANG, 5 Oktober – Bermula dari guru sekolah menengah yang gigih mendidik dalam subjek pertanian menjadi sumber inspirasi buat Siti Arifah MJupperih untuk melanjutkan pengajian dalam Bacelor Pendidikan (Sains Pertanian) di Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Siti Arifah, 20, yang berasal dari Tawau, Sabah, berkata gurunya Nurfi Imran dari Sekolah Menengah Kebangsaan Merottai Besar Tawau, Sabah, minat terhadap bidang tersebut terputik ketika mempelajari mengenai topik pertanian.

 

“Cara beliau menyampaikan ilmu menjadikan saya kagum dan akhirnya membuatkan saya mahu mengikut jejak langkahnya. Saya memilih UPM kerana bidang ini sangat dekat dengan minat saya, selain fasiliti di sini yang kondusif untuk pembelajaran,” katanya.

 

 

Walaupun bidang pertanian jarang menjadi pilihan utama generasi muda, beliau optimis dengan laluan ini yang menjanjikan masa depan yang dengan kombinasi bidang pendidikan.

 

“Ramai masih sangsi dengan prospek kerjaya dalam bidang pertanian tetapi sebenarnya bidang ini bukan sekadar melahirkan petani tetapi membuka peluang dalam penyelidikan, teknologi, inovasi serta pendidikan. Apa yang penting ialah minat dan keazaman,” katanya.

 

Siti Arifah turut bersyukur dengan inisiatif Bantuan Awal Pengajian UPM yang sedikit sebanyak meringankan beban keluarganya. Bantuan tersebut digunakan bagi membeli keperluan asas pengajian selain membantu menampung kos permulaan.

 

 

“Saya sangat berterima kasih kerana UPM membantu saya menyediakan kelengkapan untuk belajar. Ia memberi kelegaan buat keluarga saya, terutama untuk bayaran yuran dan perbelanjaan awal,” katanya.

 

Beliau turut menitipkan nasihat kepada rakan-rakan yang masih teragak-agak untuk menceburi bidang pertanian agar melihat potensi sebenar sektor ini.

 

“Jangan takut mencuba kerana pertanian kini bukan lagi cara lama ia semakin moden, berteknologi tinggi dan amat penting untuk pembangunan negara,” katanya.

WYKFWAy~