| Universiti Putra Malaysia

EIE2025: Platform Pelajar dan Penyelidik UPM Tonjolkan Inovasi Teknologi Berpotensi Komersial

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

 

 

 



SERDANG, 2 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Kejuruteraan telah menganjurkan program 'Engineering Innovation and Exhibition 2025 (EIE2025)' bagi mempamerkan hasil inovasi dan penyelesaian berasaskan teknologi yang dihasilkan oleh pelajar dan penyelidik universiti.



Program EIE2025 bertujuan mencetus kreativiti serta daya cipta dalam menangani cabaran semasa merentas pelbagai bidang dengan menampilkan pembentangan projek dan demonstrasi produk kepada panel industri bagi menjelaskan potensi komersial inovasi.

 

 

 

 

 



Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab. Kadir berkata, penganjuran program ini merupakan antara inisiatif fakulti dalam memperkukuh budaya inovasi dan memperkasakan kemahiran penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar dan penyelidik.



"Program ini turut meningkatkan kebolehpasaran graduan serta membuka peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan industri bagi latihan, penyelidikan dan kerjasama pengkomersialan produk," katanya



Tambah beliau, selain menyokong aspek pembelajaran, EIE2025 juga berperanan sebagai platform strategik untuk pelajar menyerlahkan bakat, kreativiti dan daya inovatif mereka kepada pihak luar.

 

 

 

 

 



Majlis turut menyaksikan ucaptama oleh Pengarah Putra Science Park, Prof. Dr. Samsilah Roslan yang bertajuk “From Research to Impact: Harnessing the RDICE Framework for Transformative Innovation.”

 

Ucaptama tersebut memfokus kepada kepentingan menjadikan penyelidikan sebagai pemacu utama kepada inovasi berimpak tinggi melalui pendekatan kerangka RDICE.



Menurut beliau, setiap inovasi yang berpotensi perlu melalui pelbagai fasa penting, bermula dengan idea penyelidikan, pembangunan inovasi, prototaip, validasi pasaran sehingga ke tahap pengkomersialan dan keusahawanan.



“Pendekatan RDICE memastikan inovasi berkembang secara sistematik, melindungi pengguna serta meningkatkan kepercayaan pasaran dan daya saing global,” jelasnya.



Sebanyak 45 pameran inovasi dipamerkan sepanjang program berlangsung, dengan penglibatan dua rakan strategik industri yang turut serta dalam menjayakan EIE2025.

WYHDNAr~