| Universiti Putra Malaysia

Dua Alumni UPM Kembali Raikan Kejayaan Anak pada Majlis Konvokesyen UPM

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin




SERDANG, 30 November - 
Dua alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) kembali ke kampus hari ini untuk meraikan kejayaan anak masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49, sekali gus mengulangi jejak pendidikan yang pernah mereka lalui di universiti yang sama.

Bagi pasangan alumni Norazowa Ibrahim, 65, dan Mahathir Mohamed Azahari, 66, hari ini menjadi detik bersejarah apabila ketiga-tiga anak mereka berjaya menamatkan pengajian di UPM, menjadikan keluarga itu sebagai salah satu contoh legasi pendidikan merentas generasi di universiti berkenaan.

Menurut Norazowa, beliau dan suami bukan sahaja alumni, malah pernah berkhidmat di UPM sejak era 1980-an sehingga bersara.

“Saya dan suami merupakan alumni UPM dan juga berpencen di sini. Kesemua anak-anak kami membesar dalam persekitaran UPM dan menuntut ilmu di bumi ini. Bukan itu sahaja, kami juga bekerja di tempat yang sama dan berjodoh di sini,” katanya yang tidak dapat menyembunyikan rasa bangga ketika menyaksikan anak ketiganya naik ke pentas konvokesyen.

Beliau turut berkongsi bahawa UPM menjadi sebahagian besar perjalanan hidup keluarga mereka daripada tempat bekerja, tempat mereka bertemu sebagai pasangan, hinggalah menjadi ruang membesarkan anak-anak dalam ekosistem ilmu.




Sementara itu, seorang lagi alumni yang turut meraikan momen istimewa ialah Prof. Madya Dr Muhamad Mat Noor, 54, yang hadir bersama isterinya Daswati Ghazali, 52, untuk menyaksikan anak ketiga mereka menerima skrol pada hari ini.


Baginya, kepulangan ke Dewan Besar UPM membawa nostalgia tersendiri, mengingatkannya kepada saat beliau sendiri berdiri di pentas yang hampir sama pada tiga dekad lalu ketika menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan.

“Perasaan itu sukar digambarkan. Dulu saya di sini sebagai seorang pelajar, hari ini saya berada di tempat yang sama sebagai seorang ayah. Ini satu kitaran yang sangat bermakna,” katanya.

Beliau yang juga alumni Sarjana UPM menyifatkan kejayaan anak-anaknya sebagai bukti bahawa persekitaran pendidikan dan budaya kecemerlangan UPM telah membentuk keluarga mereka sejak sekian lama.

Kisah dua keluarga ini bukan sahaja mencerminkan kecintaan mereka terhadap alma mater, tetapi turut menggambarkan bagaimana UPM terus menjadi pilihan generasi demi generasi dalam membina masa depan melalui pendidikan berkualiti.

 

WYMCBA5~