| Universiti Putra Malaysia

Anak Tawau Tekad Ubah Nasib Keluarga Melalui Bidang IT

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

 

SERDANG, 4 Oktober – Lahir daripada keluarga berpendapatan rendah di Tawau, Sabah, Yusri Bahari menjadikan pendidikan sebagai senjata untuk mengubah nasib keluarganya.

 

Pelajar Bacelor Sains Komputer (Rangkaian Komputer) dengan Kepujian di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, minatnya terhadap bidang IT sudah mula berputik sejak di bangku sekolah menengah kerana percaya bidang ini mempunyai masa depan yang luas serta mampu membantunya menyara keluarga.

 

Walaupun membesar dalam keluarga sederhana dengan pendapatan terhad, semangat Yusri tidak pernah luntur. Sokongan moral daripada kedua ibu bapanya menjadi pendorong utama untuk terus berjuang menjejakkan kaki ke menara gading.

 

“Keluarga sangat bangga apabila saya diterima melanjutkan pengajian di UPM. Mereka tahu perjalanan saya untuk sampai ke tahap ini penuh cabaran,” katanya.

 

 

Yusri mengakui cabaran utama yang dihadapi adalah dari segi kewangan.

 

“Ini tidak menjadikan kekangan itu alasan untuk berundur, sebaliknya saya mengambil pendekatan bijak mengurus belanja harian dan aktif mencari peluang bantuan kewangan.

 

“Persediaan saya bukan sahaja kewangan, tetapi juga mental. Saya perlu sentiasa kuat kerana perjalanan ini masih panjang,” katanya.

 

Yusri berharap dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk membina kerjaya dalam bidang teknologi maklumat sekali gus membantu keluarga dan masyarakat sekeliling.

WYKFSAg~