| Universiti Putra Malaysia

Puasa dan Pesakit Kanser: Potensi Biologi, Batasan Klinikal

Article Summary

Amalan berpuasa, sama ada semasa Ramadan atau melalui kaedah puasa berkala (intermittent fasting) secara teorinya boleh membawa beberapa perubahan fisiologi dalam tubuh yang berpotensi memberi manfaat kepada pesakit kanser.

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

Amalan berpuasa, sama ada semasa Ramadan atau melalui kaedah puasa berkala (intermittent fasting) secara teorinya boleh membawa beberapa perubahan fisiologi dalam tubuh yang berpotensi memberi manfaat kepada pesakit kanser.

 

Namun pendekatan ini tidak semestinya sesuai untuk semua pesakit dan perlu dinilai secara individu melalui perundingan dengan doktor yang merawat. Selain itu, keberkesanan dan manfaatnya masih memerlukan kajian berskala besar serta penelitian lanjut.

 

Pakar Perubatan Dalaman (Haematologi), Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Bahariah Khalid, berkata berpuasa mencetuskan beberapa mekanisme biologi yang menarik perhatian dalam konteks rawatan kanser.

 

“Antara kesan yang sering dibincangkan dalam literatur saintifik ialah fenomena differential stress resistance (DSR) di mana sel normal memasuki mod perlindungan semasa kekurangan nutrien, manakala sel kanser menjadi lebih terdedah kepada tekanan.

 

“Dalam keadaan tertentu sel kanser dilihat kurang berupaya menyesuaikan diri ketika dipuasakan dan berpotensi meningkatkan sensitiviti terhadap kemoterapi atau radioterapi,” katanya.

 

Tambah beliau, puasa juga dikaitkan dengan penurunan paras insulin dan glukosa dalam darah. Keadaan ini penting kerana kebanyakan sel kanser sangat bergantung kepada glukosa untuk pertumbuhan.

 

“Ini juga mengaktifkan proses autofagi, iaitu mekanisme semula jadi sel untuk membuang komponen rosak, serta berpotensi mengurangkan keradangan melalui penurunan penghasilan sitokin prokeradangan,” katanya.

 

Prof. Madya Dr. Bahariah berkata, sel normal mempunyai keupayaan metabolik yang lebih fleksibel. Apabila bekalan glukosa menurun semasa puasa, sel normal boleh beralih kepada penggunaan asid lemak dan keton sebagai sumber tenaga alternatif melalui proses ketosis.

 

“Sebaliknya, kebanyakan sel kanser kurang cekap menggunakan keton, menjadikannya lebih terjejas. Perbezaan ini menjadi asas kepada hipotesis bahawa puasa mungkin memberi kelebihan biologi dalam menyokong rawatan,” katanya.

 

Walaupun beberapa kajian awal termasuk kajian haiwan dan penyelidikan klinikal berskala kecil, menunjukkan potensi manfaat puasa dalam meningkatkan keberkesanan rawatan serta mengurangkan kesan sampingan seperti loya dan keletihan, Prof. Madya Dr. Bahariah berkata, bukti jangka hayat panjang (survival) pada manusia masih terhad.

 

“Puasa bukan rawatan utama kanser tetapi ia hanya boleh dipertimbangkan sebagai sokongan tambahan dalam keadaan yang sesuai,” katanya.

 

Beliau berkata, antara manfaat yang sedang dikaji ialah pengurusan keletihan, keradangan, dan rasa mual.

 

“Puasa berkala didapati boleh mempengaruhi laluan metabolik dan keradangan, yang berpotensi membantu sesetengah pesakit menghadapi rawatan intensif. Namun, kesan ini berbeza antara individu bergantung kepada jenis kanser, rejimen rawatan dan status nutrisi,” katanya.

 

Prof. Madya Dr. Bahariah turut menegaskan tidak semua pesakit digalakkan berpuasa antaranya seperti tahap kesihatan umum, kehilangan berat badan serta kehadiran penyakit lain seperti diabetes atau gangguan elektrolit perlu dinilai teliti.

 

“Pesakit kanser tahap lanjut atau mereka yang memerlukan pengambilan makanan dan cecair secara tetap lazimnya tidak sesuai berpuasa tanpa pemantauan rapi,” katanya.

 

Beliau turut menasihatkan pesakit untuk berbincang dengan doktor sebelum membuat keputusan.

 

 “Pendekatan rawatan kanser adalah sangat individual dan apa yang bermanfaat untuk seorang pesakit mungkin tidak sesuai untuk pesakit lain,” katanya.

 

Dari sudut psikologi dan spiritual, Prof. Madya Dr. Bahariah berpandangan pesakit Muslim sering melaporkan peningkatan ketenangan emosi, rasa kawalan diri, dan kualiti hidup yang lebih baik sepanjang Ramadan.

 

“Apa yang penting, pastikan pesakit kanser mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengamalkan puasa,” katanya.

WZCYCAK~