
Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Saleha Haron
SERDANG, 26 November – Di sebalik keanggunan dekorasi Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-49, terdapat sebuah pasukan kecil yang bekerja sepanjang tahun bagi memastikan Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) tampil segar, eksklusif dan sarat dengan elemen simbolik.
Pasukan tersebut ialah Pusat Pertanian Putra (PPP), UPM, yang menjadi tulang belakang persiapan florikultur melalui penyelenggaraan ribuan pokok hidup serta penghasilan dekorasi yang menarik sekaligus mencorakkan wajah majlis berprestij ini.
Ketua Unit Hiasan, Seksyen Perkhidmatan Landskap dan Hiasan, PPP, UPM, Wan Suhana Wan Talib, berkata persediaan hiasan konvokesyen bukan sekadar kerja dekorasi, sebaliknya melibatkan perancangan sepanjang tahun, termasuk penyelenggaraan ribuan pokok hidup yang bakal menghiasi dewan utama dan kawasan sekitar.

“Semua pokok berpasu diselenggara bermula awal tahun. Bagi pokok annuals seperti marigold, kami merancang kitarannya lapan minggu lebih awal supaya ia mekar tepat pada hari konvokesyen,” katanya.
Tambah beliau, hiasan tahun ini mengetengahkan tema “Elegant Classic”, berinspirasikan gabungan warna tradisional dan elemen warisan tropika. Pemilihan bunga dilakukan secara teliti berdasarkan ketahanan, antaranya marigold, chrysanthemum serta pelbagai spesies dedaun tropika yang lebih tahan lasak.
“Antara bunga dominan ialah orkid, mawar dan beberapa pilihan bunga tropika yang lembut tetapi elegan. Pemilihan warna pula perlu diselaraskan dengan backdrop yang ditetapkan universiti. Backdrop ini menentukan keseluruhan palet warna hiasan,” katanya.

Secara keseluruhannya, 2,000 pokok berpasu dan 3,000 pokok bunga annuals digunakan bagi dekorasi edisi konvokesyen kali ini.
“Untuk tanaman pokok hiasan dedaun, kami menggunakan famili keladi dan money plant kerana lebih tahan lama serta memberikan tekstur menarik. Bagi bunga keratan, sebahagiannya dibeli kerana tidak sesuai ditanam di fasiliti sedia ada,” tambahnya.
Antara cabaran utama ialah memastikan bunga kekal segar di dalam Dewan Besar yang terdedah kepada perubahan suhu yang berubah-ubah.
“Untuk mengatasi isu tersebut, pasukan Unit Hiasan menambah kekerapan siraman dan mengawal aliran air bagi mengelakkan limpahan terutama bagi hiasan berskala besar dalam dewan yang terdedah kepada perubahan suhu ekstrem antara siang dan malam,” katanya.
Walaupun pasukan tetap Unit Hiasan hanya mempunyai 10 orang staf, kerja dilaksanakan secara intensif dengan bantuan buruh tambahan khusus untuk musim konvokesyen. Tugas mereka bukan terhad di dalam dewan, tetapi turut meliputi kawasan luar, laluan tetamu serta lokasi-lokasi fotografi utama.
“Menjelang Majlis Konvokesyen, kami bekerja sepanjang masa untuk memastikan pokok hiasan terjaga dan kerja sepasukan sangat penting dalam memastikan ksegeran bunga dan pokok hiasan sepanjang Majlis Konvokesyen UPM nanti,” katanya.
Meskipun bunga tiruan kini lebih mudah diurus, UPM kekal memilih bunga hidup bagi mengekalkan keaslian dan estetika semula jadi majlis.
“Bunga hidup lebih lembut, cara ia menjurai pun berbeza. Ia kelihatan lebih ‘lively’. Pokok hidup memberi getaran semula jadi dan mencipta suasana yang segar,” katanya.
Tambahan pula, kajian menunjukkan bunga hidup memberikan kesan psikologi positif kepada manusia, menjadikan pemilihannya lebih signifikan dalam majlis yang meraikan kejayaan graduan.

Selain itu, antara cabaran yang dihadapi oleh Pasukan Unit Hiasan adalah perubahan drastik dekorasi seperti warna karpet yang memberi kesan langsung kepada skema hiasan.
“Jika warna karpet berubah, kami perlu menukar warna bunga. Ini boleh mengganggu perancangan kerana bunga hidup perlu ditempah awal dan stok kadangkala terhad,” jelasnya.
Wan Suhana berharap hiasan pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 kali ini bukan sahaja menceriakan suasana majlis, tetapi turut menjadi sebahagian daripada memori visual graduan dan keluarga mereka.
“Kami mahu graduan gembira dan hiasan ini menyokong momen foto mereka. Biarlah ia menjadi latar yang cantik untuk kenangan sepanjang hayat,” katanya.






