Oleh: Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
Jurufoto: Saleha Haron
SERDANG, 25 Nov – Pandemik COVID-19 yang menyebabkan Dr. Khairunnisa’ Md Yusof, 35, berasa ‘terkurung’ di Australia demi menjalankan penyelidikan Ph.D. serta terpaksa berpisah dengan anak-anak bukanlah penghalang impian beliau untuk menyumbang bakti dalam pendidikan dan penyelidikan perubatan.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berjaya memperoleh Ph.D. di bawah Program Kerjasama Antarabangsa UPM (UPM-ICP) di antara UPM dan University of Newcastle (UoN), Australia dalam bidang perubatan molekul dan genetik perubatan sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-47 Sidang 2 hari ini..
Menurut Dr. Khairunnisa’, status sebagai isteri dan ibu bukanlah penghalang buat individu untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Sebagai seseorang yang sudah berkahwin dan pada masa yang sama sedang berjihad dalam menuntut ilmu, kehidupan ini mengajarkan saya untuk lebih menghargai masa sebaiknya kerana keutamaan saya berbeza di kedua-dua institusi ini,” katanya.
Dr. Khairunnisa’ berhempas pulas selama dua tahun mengendalikan kerja makmal di Institut Biosains, UPM, serta hampir dua tahun juga di UoN, Australia untuk melanjutkan kajian beliau di sana.
“Dalam perjalanan panjang pengajian saya, saya pernah berada pada titik terendah dalam hidup dan hampir meninggalkan kajian yang telah saya usahakan selama tiga tahun apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga dan anak-anak, lebih-lebih lagi pada ketika itu pandemik Covid-19 melanda negara dan saya merasa ‘terkurung’ di Australia.
“Dorongan dan kata-kata semangat daripada keluarga, penyelia dan rakan seperjuangan yang membuatkan saya bangkit dan sedar bahawa peluang hanya datang sekali. Semangat ingin bertemu semula dengan anak-anak secepat mungkin juga menjadi pemangkin utama untuk saya menghabiskan penyelidikan,” katanya.
Selain keluarga dan anak-anak, kesungguhan untuk berbakti kepada masyarakat, khususnya komuniti kanser menguatkan semangat Dr. Khairunnisa’ untuk menyelesaikan penyelidikan Ph.D., seterusnya menyumbang dalam bidang penyelidikan dan perubatan.
“Kajian penyelidikan Ph.D. saya melibatkan beberapa disiplin ilmu, iaitu bioperubatan, kesihatan awam dan perubatan molekul yang melibatkan pemandiri kanser payudara untuk mengenal pasti risiko limfedema dalam kalangan pemandiri kanser payudara di Malaysia.
“Penghidap kanser berisiko mendapat limfedema, sama ada kerana kanser itu sendiri atau akibat kesan sampingan daripada rawatan kanser. Penting untuk mengetahui faktor risiko limfedema khususnya dalam kalangan penghidap kanser untuk mencegah komplikasi.
“Oleh itu, pemandiri kanser payudara perlu diberikan kesedaran tentang limfedema selepas rawatan kanser payudara serta pendidikan dalam penjagaan kesihatan untuk mengenal pasti tanda awal limfedema dan mengurangkan risiko,” katanya.
Wanita berkerjaya yang kini bergelar Pensyarah di International Medical School (IMS), Management and Science University (MSU) itu meluahkan rasa syukur kerana meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran, beliau diberikan pelbagai peluang dan pengalaman berharga sepanjang menjalani penyelidikan Ph.D.
“Saya berpeluang bertemu dengan pemandiri kanser payudara yang sangat positif dalam membantu kajian penyelidikan saya, serta berkongsi hasil kajian dengan komuniti kanser melalui kempen kesedaran di beberapa negeri di Malaysia seperti Kelantan, Pulau Pinang, Melaka, Selangor dan Johor.
“Saya berpeluang menjadi pembantu penyelidik di bawah Majlis Kanser Nasional (MAKNA) di Malaysia, dan menyertai organisasi sains seperti Genetic Society of Malaysia, Hunter Cancer Research Alliance, Australian Society of Medical Research (ASMR) dan Australasian Lymphology Association (ALA) di Australia, di mana hal ini membantu saya menambah jaringan kenalan di kedua-dua negara,” katanya.
“Saya berharap dapat memberi sumbangan dalam komuniti kanser serta menyantuni pesakit kanser di Malaysia, selain berkongsi ilmu kepada generasi muda mengenai pentingnya penyelidikan dan pengajian berterusan dalam hidup kerana ilmu mampu mengubah cara berfikir dan bertindak untuk memajukan diri,” katanya.