| Universiti Putra Malaysia

Dua pelajar pilih Program Asasi Sains Pertanian UPM sebagai laluan ke arah cita-cita

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari

 

SERDANG, 11 Julai - Dua pelajar memilih Program Asasi Sains Pertanian sebagai fasa permulaan untuk membina asas kukuh dalam bidang pertanian moden dan sains hayat bagi menggapai cita-cita.

 

Umar Fansuri Anuar, 18, berasal dari Selangor, memilih program ini di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai langkah awal dalam merealisasikan impiannya untuk bergelar doktor haiwan.

 

“Saya memilih UPM kerana kemudahan veterinar yang ditawarkan adalah yang terbaik di Malaysia dan saya yakin program ini mampu memberikan asas yang kukuh untuk kerjaya saya. Minat saya dalam bidang ini bukan hanya tertumpu kepada aspek rawatan semata-mata, tetapi juga kepada tanggungjawab sosial serta peranan dalam mendidik masyarakat,” katanya.

 

Seterusnya, Myreen Iffah Natahion Ammar, 18, memilih untuk mengikuti jejak langkah kakaknya yang kini sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda di UPM.

 

“Saya memilih program ini kerana kakak saya juga pernah melaluinya, dan saya memang bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera. Pada pandangan saya, program ini memberikan peluang untuk mendalami subjek-subjek penting seperti matematik, fizik dan kimia, yang merupakan tunjang utama dalam bidang kejuruteraan,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra), UPM telah menerima seramai 937 pelajar baharu yang mendaftar bagi sesi akademik 2025/2026.

 

ASPutra merupakan satu-satunya universiti awam yang mengetengahkan pendidikan tinggi dalam bidang pertanian, selaras dengan usaha melahirkan graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian negara dengan lebih mampan.

WYHRSAN~