| Universiti Putra Malaysia

WAKE 2025 bantu mahasiswa rancang kewangan, elak muflis muda

 

Oleh: Nor Atiqah Dalili Shahriman

 

SERDANG, 29 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Kokurikulum & Pembangunan Pelajar (PKPP) dengan kerjasama Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN) menganjurkan Wacana Kepimpinan Kewangan 2025: Dari Kampus Ke Kehidupan (WAKE 2025) bagi memupuk kesedaran celik kewangan dalam kalangan mahasiswa.

 

Program yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Now Asia International Sdn. Bhd itu memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai pengurusan kewangan berkesan sebagai persediaan menghadapi alam kerjaya kelak.

 

Pengarah PKPP, Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, berkata WAKE 2025 menjadi platform latihan praktikal bagi mahasiswa merancang perbelanjaan dengan bijak, selain membentuk kepimpinan kendiri untuk mengelakkan masalah kewangan serius pada usia muda.

 

“Melalui program ini, mahasiswa bukan sahaja mempelajari teknik mengurus kewangan, malah diterapkan dengan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan nilai insaniah untuk membuat pertimbangan kewangan yang wajar,” katanya.

 

Pengarah program, Amira Farhana Sallehuddin, berkata antara pengisian menarik program termasuk simulasi pengurusan kewangan melalui pertandingan Cashflow, memberi peluang kepada peserta merasai cabaran merancang kewangan dalam kerjaya sebenar.

 

“Simulasi ini membuka mata kami tentang kepentingan merancang aliran tunai dan membuat keputusan kewangan tepat untuk masa depan,” katanya.

 

Program ini juga menjadi medan pemilihan empat pemenang utama Pertandingan Cashflow seluruh negara untuk mewakili Malaysia ke National Achievers Congress 2025 di Singapura pada Ogos ini, sekali gus memberi peluang kepada mahasiswa untuk membina jaringan antarabangsa dalam bidang kewangan dan kepimpinan.

WYHIGAM~