| Universiti Putra Malaysia

UPM and JAKIM embark on development of halal analysis methods

By Syifarida Muhamad Zaki

Foto by Noor Azreen Awang

NILAI, 15 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memulakan jaringan dalam bidang berkaitan kimia dan bioteknologi ke arah membangunkan kaedah analisis halal.

 Pada majlis itu, UPM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, manakala JAKIM oleh Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha.  Ia disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom.

Kandungan MoA sebanyak lapan sub projek penyelidikan antara JAKIM melalui Malaysian Halal Analysis Centre (MyHAC) dan UPM melalui Istitut Penyelidikan Halal (IPPH) itu termasuk mewujudkan satu pangkalan data lengkap, menyediakan latihan praktikal dan membantu menyediakan dokumen berkaitan kaedah juruanalisa MyHAC.

MoA itu juga bertujuan untuk pemprofilan dan pengesahan elemen DNA babi dan kimia daripada kategori yang terpilih di dalam produk makanan, farmaseutikal dan kosmetik.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas itu, Prof. Datin Paduka Dr. Aini berkata MoA itu sebagai langkah proaktif dalam usaha melakukan pemeriksaan yang lebih kerap, cekap dan pantas bagi memastikan produk yang ada di pasaran halal.

“Projek bagi tempoh 18 bulan sehingga Februari 2018 itu dilihat sebagai penyelidikan impak jangka panjang iaitu penjanaan ilmu baharu dan pemindahan teknologi kepada JAKIM,” katanya.

 Sehubungan itu, satu pembentangan laporan kemajuan bagi projek dua jaringan itu akan dibentangkan pada April ini.

 Dato’ Seri Jamil Khir berharap standard Operating Prosedur (SOP) mengenai ‘Perkhidmatan Pembangunan Kaedah Analisis Halal’ dapat menghasilkan keputusan penyelidikan yang tepat dan cepat.

 Turut hadir menyaksikan MoA itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dato' Dr. Husaini Omar.

 

 

 

 

 

 

SXDdHA~