| Universiti Putra Malaysia

TPM Cadang FBMK UPM Jadi Makmal Naratif Negara

 

SERDANG, 4 Oktober – Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) dijadikan makmal naratif negara yang dapat memperkukuh wacana kebangsaan melalui kepakaran komunikasi, bahasa dan penyelidikan.

 

Cadangan itu disuarakan ketika merasmikan Malam Kilauan Mutiara FBMK 2025 bersempena sambutan 30 tahun penubuhan fakulti berkenaan yang menghimpunkan lebih 300 alumni, rakan strategik dan pendokong bidang bahasa, komunikasi serta kesusasteraan.

 

“Fakulti ini berada di simpang jalan antara ilmu dan praktik. Dengan kepakaran komunikasi, bahasa dan penyelidikan, FBMK boleh menjadi makmal naratif negara bagi melatih jurucakap, menguji bingkai komunikasi dasar serta membimbing generasi yang bukan sahaja fasih berbahasa, tetapi juga mahir memimpin wacana,” katanya.

 

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM350,000 serta penubuhan Chapter Alumni FBMK di bawah Persatuan Alumni UPM sebagai usaha memperkukuh jaringan sokongan alumni. Beliau juga melancarkan Coffee Table Book Jubli Mutiara, menerima sumbangan penaja dan penyampaian Anugerah Alumni FBMK.

 

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata majlis ini bukan sahaja meraikan pencapaian fakulti sepanjang tiga dekad malah menjadi platform mempertemukan semula alumni dalam suasana penuh nostalgia.

 

“Selaras dengan cogan kata universiti ‘Berilmu Berbakti’, alumni dijemput untuk terus memberi sumbangan idea, kepakaran dan sokongan dalam usaha membangunkan fakulti dan universiti, sekali gus memberi inspirasi kepada generasi pelajar akan datang,” katanya.

 

Sementara itu, Dekan FBMK, Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim, menegaskan bahawa fakulti tersebut telah menempuh perjalanan penuh gemilang sejak ditubuhkan.

 

 

“Selama 30 tahun, fakulti ini membuktikan bahawa ilmu bahasa, kesusasteraan dan komunikasi bukan sahaja wadah akademik, tetapi juga jambatan yang menghubungkan masyarakat, memperkaya budaya, membina jati diri bangsa serta tersohor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

WYKGCAu~