KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Syarikat pemula (startup) di bawah program InnoHub Universiti Putra Malaysia (UPM), Lipidware Sdn. Bhd., yang mengkomersialkan jenama REMDII, telah merangkul dua anugerah utama sempena National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2025 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), kelmarin.
Majlis anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, sebagai platform menghimpunkan inovator terbaik tanah air bagi meraikan kehebatan dalam bidang sains, teknologi dan pengkomersialan tempatan.
Lipidware Sdn. Bhd., yang diasaskan hasil penyelidikan Pensyarah Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM, Prof. Dr. Lai Oi Ming, telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan Tahun Pengkomersialan Malaysia 2024 serta Anugerah Keseluruhan Tahun Pengkomersialan Malaysia 2024.
Pengarah Putra Science Park (PSP), UPM, Prof. Dr. Samsilah Roslan, berkata pencapaian Lipidware mencerminkan peranan universiti dalam melahirkan usahawan teknologi berdaya saing melalui sokongan PSP serta pelaksanaan inisiatif pengkomersialan yang berstruktur.
“Kejayaan REMDII adalah simbol kolaborasi berjaya antara akademia dan industri. Ia membuktikan bahawa penyelidikan tempatan mampu berdiri megah di pentas dunia serta memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Selain itu, kemenangan ini turut mengiktiraf keunggulan inovasi produk penjagaan kulit berasaskan minyak sawit tempatan di bawah jenama REMDII yang bukan sahaja memberi harapan baharu kepada pesakit ekzema, malah membuktikan kemampuan penyelidikan universiti untuk diterjemahkan kepada produk berimpak global.
Dengan kejayaan tersebut, Lipidware Sdn. Bhd. kini berdiri sebagai ikon inovasi tempatan yang berpotensi menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus mengangkat martabat penyelidikan Malaysia sebagai kebanggaan di persada dunia.
Dalam pada itu, sempena NICE 2025 turut berlangsung majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Putra Agrotech Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat pemula (startup) di bawah bimbingan InnoHub UPM.
Pertukaran memorandum ini dimeterai bagi memperkukuh usaha pengkomersialan Benih Padi Putra 1 dan Putra 2, hasil penyelidikan Prof. Dr. Mohd Rafii Yusop dari Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), UPM.