| Universiti Putra Malaysia

Program Asasi Sains Pertanian tarik minat pelajar teruskan pengajian di UPM

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari

 

SERDANG, 10 Julai – Keunikan Program Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) terus menjadi pilihan pelajar cemerlang yang mahu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di universiti terkemuka negara itu.

 

Pasangan kembar, Mohammad Faizal Zainal Abidin dan Muhammad Faiz Zainal Abidin, 18, berkata mereka memilih program asasi tersebut sebagai pilihan pertama kerana yakin dengan kualiti pendidikan serta kedudukan ranking UPM di peringkat antarabangsa.

 

“Kami yakin dengan UPM dan mahu menjadi sebahagian daripada warga Menara Ilmu ini,” kata mereka selepas selesai mendaftar hari ini.

 

Muhammad Faiz berkata, mereka turut mendapat inspirasi daripada kakak mereka, Siti Nurshahirah yang juga graduan Fakulti Sains UPM telah banyak berkongsi pengalaman manis sepanjang pengajian di universiti itu.

 

“Kakak kami banyak berkongsi kisah pengalamannya dan kami dapati program ini unik kerana memberi pendedahan secara langsung tentang asas pertanian sesuatu yang baharu untuk kami pelajari,” katanya.

 

Kedua-dua mereka, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri yang memperoleh 9A dalam SPM, bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia di UPM selepas tamat pengajian.

 

“Kami mahu sama-sama berjaya demi masa depan yang cemerlang serta membanggakan keluarga,” katanya.

 

Sementara itu, Muhammad Danish Zafran Che Zaini, 18, berkata beliau tertarik dengan Program Asasi Sains Pertanian selepas membaca tentang program tersebut di media sosial yang telah menggambarkan pengajian ini menyeronokkan dan memberi pendedahan dalam bidang pertanian.

 

“Bagi saya, pertanian adalah bidang yang menarik dan tidak perlu takut untuk belajar sesuatu yang baharu kerana ilmu itu boleh dimanfaatkan pada masa depan,” katanya.

 

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor yang memperoleh 9A dalam SPM ini berharap dapat meneruskan kecemerlangan akademik untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di UPM kelak.

 

“Harapan saya adalah untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dan menikmati pengalaman pembelajaran di kampus hijau ini, impian saya sejak dahulu,” katanya.

 

Bagi Aisyah Mohd Sanusi, 18, bekas pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang (KISAS) yang memperoleh 10A dalam SPM menyifatkan Program Asasi Sains Pertanian sebagai laluan terbaik untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di UPM.

 

“Saya yakin dengan pilihan ini kerana UPM adalah antara universiti terbaik di Malaysia dan program ini mempunyai keunikannya tersendiri,” katanya.

 

Walaupun bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, Aisyah berkata beliau teruja untuk meneroka bidang pertanian yang ditawarkan dalam silibus ASPer.

 

“Saya minat sains dan apabila mengetahui silibus Program Asasi Sains Pertanian turut memberi pendedahan tentang pertanian saya mahu belajar dan menerokanya,” katanya.

 

Dalam pada itu, Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra), UPM telah menerima seramai 937 pelajar baharu yang mendaftar bagi sesi akademik 2025/2026.

 

ASPutra merupakan satu-satunya universiti awam yang mengetengahkan pendidikan tinggi dalam bidang pertanian, selaras dengan usaha melahirkan graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian negara dengan lebih mampan.

WYHLVA~