| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM terima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2025

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 17 Julai – Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Tiew Siew Jin, 26, menerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) bagi tahun 2025 dalam bidang pengkhususan Bioteknologi.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mengurniakan biasiswa tersebut bagi peringkat pengajian sarjana (Master).

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, penerimaan BYDPA oleh pelajar UPM itu merupakan satu pencapaian membanggakan dan menjadi inspirasi kepada pelajar lain.

 

“Penganugerah biasisawa ini secara langsung membuktikan pelajar UPM cemerlang dan membantu pelajar dari segi kewangan dan membolehkan mereka lebih fokus dalam mencapai kecemerlangan akademik,” katanya.

 

Beliau turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Tiew Siew Jin yang berjaya menerima BYDPA dan berharap kejayaan tersebut akan terus memacu kecemerlangan dalam bidang pengajian, selaras dengan Matlamat 1 Pelan Strategik UPM 2021-2025, iaitu melahirkan graduan berdaya tahan dalam mendepani cabaran mendatang.

 

Dalam pada itu, BYDPA merupakan biasiswa berprestij negara yang diperkenalkan pada tahun 2006 bagi menaja warganegara Malaysia yang cemerlang dalam akademik serta aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti khidmat masyarakat atau penghasilan karya yang mengandungi elemen kreatif dan inovatif.

WYHSWA5~