| Universiti Putra Malaysia

Cucu warisi langkah ibu, atuk bangga di UPM

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Foto Oleh : Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari



SERDANG, 10 Julai
– Mengimbau kembali kenangan dahulu, Mohd Muda, 83, dari Kota Bharu, Kelantan, berkongsi keterujaannya apabila dapat kembali ke Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menemani cucunya mendaftar sebagai pelajar di universiti yang sama pernah menjadi tempat anaknya menimba ilmu suatu ketika dahulu.

“Dulu anak saya belajar di sini, sekarang cucu saya pula menyambung pengajian di UPM. Saya bangga sangat dan terharu dapat turun padang bersama anak dan cucu hari ini untuk mendaftar di Pusat Asasi Sains UPM,” katanya dengan nada terharu.

Beliau berkata, pendaftaran cucunya dalam Program Asasi Sains Pertanian, Pusat Asasi Sains (ASPutra) UPM, bukan sahaja mengimbau kenangan sewaktu anaknya menjadi pelajar di UPM, malah menjadi satu kebanggaan apabila legasi pengajian anaknya kini diteruskan oleh cucunya.

“Saya berharap cucu saya dapat tamatkan pengajian seperti ibunya dahulu dan berjaya dalam kehidupannya,” katanya penuh harapan.




Turut berkongsi kegembiraan, Mary Catherine, 52, dari Shah Alam, melahirkan rasa syukur apabila anaknya berpeluang melanjutkan pengajian di UPM, membuka ruang untuk membina masa depan yang lebih baik.

“Saya rasa sangat bersyukur apabila anak dapat menyambung pengajian di UPM. Fasiliti di sini sangat baik dan kondusif untuk dia belajar dengan selesa.

“Saya beri dia kebebasan untuk memilih cita-citanya, dan saya akan sentiasa mendoakan kejayaannya untuk menjadi seorang jurutera seperti ayahnya,” ujarnya ketika ditemui di Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG) semasa pendaftaran pelajar asasi.



Sementara itu, Zubaidah Fazil, 56, dari Besut, Terengganu, berkata anaknya sejak kecil bercita-cita untuk menjadi juruterbang, dan beliau berasa lega apabila anaknya memulakan langkah awal pendidikan tinggi di UPM untuk merealisasikan impiannya.

“Pendidikan tinggi sangat penting supaya dia menjadi seorang juruterbang yang berkaliber suatu hari nanti,” katanya.

Dalam pada itu, ASPutra UPM telah menerima seramai 937 pelajar baharu yang mendaftar bagi sesi akademik 2025/2026.

ASPutra merupakan satu-satunya universiti awam yang mengetengahkan pendidikan tinggi dalam bidang pertanian, selaras dengan usaha melahirkan graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian negara dengan lebih mampan.

WYHOSAr~