| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM juara Pertandingan Antarabangsa di Eindhoven Semicon Summer School 2025

SERDANG, 4 September – Pelajar Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Fakulti Kejuruteraan (FK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Zulfakhri Zulkifli, telah mengharumkan nama universiti dan negara apabila muncul juara pertandingan projek kumpulan di Eindhoven Semicon Summer School (ESSS) 2025 yang berlangsung di Eindhoven, Belanda, baru-baru ini.

 

Beliau merupakan satu-satunya wakil UPM dan Malaysia di program berprestij itu yang menghimpunkan 80 peserta daripada lebih 20 universiti terkemuka di dunia termasuklah negara Eropah.

 

Muhammad Zulfakhri, 23, berkata, projek kumpulannya iaitu “Towards Integrated Broadband Photonic Systems: Conceptualizing a Handheld Real-Time Spectroscopy Instrument” berjaya menewaskan 75 peserta lain dan dinobatkan sebagai juara.

 

“Saya berbesar hati dapat mewakili UPM dan Malaysia di pentas antarabangsa ini menerusi jemputan rasmi Kedutaan Belanda ke FK UPM.

 

"Program ini memberi pendedahan berharga tentang teknologi semikonduktor, dan kemenangan ini menjadi pemangkin untuk saya terus menyumbang kepada pembangunan teknologi negara,” katanya.

 

Tambah beliau, para peserta dibahagikan kepada 12 kumpulan dengan setiap pasukan mengusahakan projek bertemakan sistem fotonik dalam tempoh lima hari sebelum membuat pembentangan pada hari terakhir.

 

“Bersama rakan pasukan dari Belanda, Itali, Taiwan, dan Romania, saya menampilkan inovasi dan penyelidikan berkualiti tinggi sehingga dinobatkan sebagai juara serta membawa pulang hadiah wang tunai €600 (kira-kira RM3,000) dan sijil penyertaan.

 

"Terima kasih kepada FK UPM, Kedutaan Belanda, MITI, TalentCorp, dan Sekretariat National Semiconductor Strategy (NSS) atas kerjasama strategik dalam menjayakan penyertaan saya ini," katanya.

 

Dalam pada itu, program anjuran Eindhoven Hendrik Casimir Institute (EHCI) itu turut menampilkan syarahan khas daripada pakar antarabangsa mewakili institusi dan syarikat terkemuka termasuk Eindhoven University of Technology, ASML, NXP Semiconductors, ASM, KU Leuven, IMEC, IBM, Synopsys Inc., EFFECT Photonics, Axelera AI, dan TSMC, selain lawatan ke beberapa syarikat semikonduktor utama di Belanda.

WYJGEAW~