| Universiti Putra Malaysia

Pelajar baharu UPM diseru utamakan adab dalam menimba ilmu

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mozaid Idris

 

SERDANG, 7 Oktober – Pelajar baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) Sesi 2025/2026 diseru untuk mengutamakan adab dan kejujuran dalam menuntut ilmu bagi membentuk sahsiah unggul serta menjadikan ilmu yang diperoleh lebih berkat dan bermanfaat.

 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib, berkata kecemerlangan seorang pelajar tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi turut ditentukan oleh peribadi dan tatasusila.

 

“Pelajar yang berjaya bukan sekadar cemerlang di atas kertas, tetapi juga unggul dari segi sahsiah dan peribadi. Menghormati pensyarah, memberi perhatian dalam kuliah, menepati masa, dan menjaga hubungan sesama rakan adalah kunci kepada keberkatan ilmu,” katanya.

 

Tambah beliau, ilmu hanya akan memberi manfaat sekiranya diperoleh dengan cara yang betul dan berlandaskan kejujuran dalam menelusuri ilmu dengan cara yang betul.

 

“Setiap kali kita tidak jujur, sebenarnya kita menipu diri sendiri dan merosakkan nilai ilmu itu. Pelajar yang jujur, meskipun mendapat keputusan sederhana, akan lebih berdaya tahan kerana asas keilmuannya kukuh,” katanya.

 

Prof. Abd. Rahim turut mengingatkan bahawa ilmu bukan hanya untuk kepentingan individu, sebaliknya perlu dimanfaatkan demi masyarakat, negara, dan dunia.

 

“Seruan ini adalah sejajar dengan moto UPM, “Berilmu Berbakti” yang menekankan bahawa setiap ilmu yang diperoleh wajar dipraktikkan sebagai sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan negara.

 

“Ilmu yang tidak diamalkan dan tidak memberi manfaat hanyalah ibarat buku yang tersimpan di rak tanpa pernah dibuka,” katanya.

 

Dalam pada itu, seramai 4,316 pelajar baharu telah mendaftar pada 4 Oktober lalu bagi Sesi Akademik 2025/2026, mengukuhkan peranan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi utama negara, khususnya dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan, di samping terus menawarkan pengalaman pembelajaran serta kehidupan kampus yang berkualiti.

 

WYKIAAq~