MyAgeingTM UPM Anjur Pertandingan Reka Bentuk Pembangunan Warga Emas | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » MyAgeingTM UPM anjur pertandingan reka bentuk pembangunan warga emas

MyAgeingTM UPM anjur pertandingan reka bentuk pembangunan warga emas

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

SERDANG – Sebanyak 48 kumpulan melibatkan institut pengajian tinggi awam dan swasta telah menyertai pertandingan Retirement Oriented Development Design Competition 2019 (RODDC2019) iaitu pembangunan kawasan yang memenuhi keperluan warga emas baru-baru ini.

Tempat pertama dimenangi oleh kumpulan pereka dari Universiti Sains Malaysia dengan reka bentuk pembangunan bertajuk Hyden Park dengan membolot hadiah RM10,000, kedua Universiti Teknologi Malaysia bertajuk The Mount Link dengan meraih hadiah RM8,000 dan ketiga Universiti Teknologi Mara bertajuk Kaseh Sanctuary dengan mendapat hadiah RM6,000.

Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeingTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Ir. Dr. Siti Anom Ahmad berkata konsep pertandingan ialah Tropical, Sustainable and Enabling Senior Living.

Pertandingan menugaskan peserta untuk merancang penyelesaian yang mampan bagi pembangunan kawasan seluas 23 hektar di (UPM) Serdang yang memenuhi keperluan pelbagai kumpulan sasaran dan berorientasi warga emas.

“Peserta akan dicabar untuk mempertimbangkan reka bentuk yang cukup fleksibel bagi menampung saiz penghuni yang berbeza dari segi warga emas, keluarga, profesional bujang, pasangan, milenium selain mengambilkira keperluan mereka yang pelbagai,” katanya pada majlis penyampaian hadiah RODDC2019 secara maya di   MyAgeingTM UPM.

Beliau berkata objektif RODDC2019 untuk menggalakan generasi pereka muda untuk merancang dan merekabentuk pembangunan dengan kemudahan yang dapat memenuhi keperluan yang berbeza pada peringkat yang berbeza dalam kitaran kehidupan. 

Pertandingan yang dianjurkan oleh MyAgeingTM dan Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina, UPM dengan kerjasama Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dibuat di MyAgeingTM, UPM dengan menawarkan wang tunai bernilai RM45,000 yang ditaja oleh pihak Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP). 

Sempena Hari Warga Emas Kebangsaan 2020 yang disambut setiap bulan Oktober, MyAgeingTM turut menganjurkan wacana ilmu secara maya bertajuk Age Friendly City: The Future of Community Living yang membincangkan persediaan Malaysia ke arah “negara tua” dengan peningkatan populasi warga emas di Malaysia dijangka akan meningkat melebihi 5.1 juta, atau 15% daripada populasi penduduk Malaysia pada tahun 2034.

Dr. Siti Anom berkata turut dibincangkan ialah peranan yang perlu diambil oleh pihak pembuat dasar bagi memastikan warga emas mempunyai akses kepada persekitaran kediaman yang kondusif untuk kehidupan yang lebih sempurna. 

Date of Input: 06/11/2020 | Updated: 06/11/2020 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUMJFA:05:32