UPM juara Pertandingan Simulasi Perniagaan IPTA


KUALA LUMPUR, 23 Feb – Enam pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih hadiah wang tunai RM10,000 apabila memenangi tempat pertama Pertandingan Simulasi Perniagaan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Mengulas kejayaan itu, ketua kumpulan, Lee Yoong Jan tidak menyangka inovasi yang dikomersilkan secara simulasi oleh kumpulannya mampu menarik minat juri dan berharap perisian itu akan dimanfaatkan oleh kanak-kanak yang mengalami disleksia.

Kumpulan itu turut disertai oleh Siti Rubiah Ngadiman, Munirah Afifah Mokhtar, Tan Kah Kok dan Nurul Amalina Hassan.



Kumpulan kami telah mengkomersialkan laman web yang mempunyai perisian dalam mengesan kanak-kanak yang mempunyai disleksia atau tidak.

“Sekiranya kanak-kanak mempunyai gangguan berkenaan, kami menawarkan penyelesaian dengan modul, bantuan cakera padat serta buku teks Perisian Tutor Phonic,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan simulasi IPTA di sini.

Beliau berharap produk itu akan dapat dipasarkan menerusi syarikat yang ditubuhkan iaitu Braineo Solution Sdn. Bhd. sebelum penghujung tahun ini.

Program anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Mypec Sdn Bhd yang disertai oleh 17 IPTA itu bertujuan untuk membudayaan keusahawanan di kalangan mahasiswa di IPTA.

Penasihat kumpulan, Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan, UPM berkata kumpulan pelajar itu telah melalui pelbagai ujian simulasi pemasaran seperti penubuhan syarikat, bertemu pelabur, urusan jual beli dan perbincangan pinjaman dengan bank.