| Universiti Putra Malaysia

UPM Perkukuh Keterjaminan Makanan Melalui Rekabentuk Inovatif Pelajar

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

 

 

 

 

SERDANG, 15 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Jabatan Rekabentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan  Senibina (FRSB) telah mengadakan program SEED Showcase 2025 bagi mempamerkan inovasi industri reka bentuk pelajar dalam menyokong keterjaminan makanan. 

 

Program yang berlangsung di Galeri Serdang, FRSB itu menghimpunkan pelbagai hasil rekaan kreatif yang menggabungkan elemen teknologi, kelestarian dan fungsi praktikal bagi menangani cabaran keselamatan makanan masa hadapan.

 

Ketua Program, Vennosha A/P K Devarajan berkata, program ini bertujuan memupuk pemikiran reka bentuk yang holistik dalam kalangan pelajar serta memainkan peranan dalam bidang seni bina dan reka bentuk bagi menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

 

“Sempena tahun ke-10, program ini berkait rapat dengan penyelesaian masalah sebenar termasuk isu keterjaminan makanan.

 

“Melalui projek ini, pelajar didedahkan dengan pendekatan reka bentuk yang menyokong pengeluaran makanan lestari dan pemeliharaan alam sekitar,” ujarnya.

 

Timbalan Dekan FRSB UPM, Prof. Madya Dr. Shureen Faris Abdul Shukar berkata, program SEED Showcase merupakan platform penting untuk menyerlahkan hasil kerja pelajar yang bukan sahaja kreatif malah mempunyai nilai tambah dalam menyelesaikan isu global.

 

“Reka bentuk dan seni bina bukan sahaja  memenuhi kehendak estetik, tetapi menawarkan penyelesaian inovatif kepada isu kemasyarakatan seperti keterjaminan makanan,” katanya.



Mengukuhkan lagi pengisian program, Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan UPM, Prof. Dr. Anjas Asmara@Ab. Hadi Samsudin turut menyampaikan syarahan bertajuk 'Seeds of Change: Rethinking Food Security Through Design Thinking' yang mengetengahkan potensi pendekatan reka bentuk sebagai pemangkin perubahan dalam menangani cabaran keterjaminan makanan secara holistik.

 

Dalam pada itu, seramai 34 pelajar Bacelor Rekabentuk Perindustrian dengan Kepujian berjaya membangunkan prototaip tulen bertemakan keterjaminan makanan yang berupaya menawarkan solusi kreatif, praktikal dan lestari kepada isu keselamatan makanan negara.

WYHQGAS~