| Universiti Putra Malaysia

Menteri Pendidikan Tinggi lawat fasiliti Solar Terapung UPM

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Noor Azreen Awang

SERDANG, 15 Julai - Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hari ini melakukan lawatan ke fasiliti solar Hidroponik-Aquavoltaic Bersepadu Berskala Besar (Large Scale Integrated Hydroponic-Aquavoltaic) di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), menjadikannya lawatan sulung beliau ke sistem bersepadu pertama seumpamanya di institusi pengajian tinggi Malaysia.

Fasiliti yang dikenali sebagai SURIA16 Floating & Walkway @ Eng UPM ini dilengkapi dengan Rooftop Solar Photovoltaic (PV), Sistem Agrivoltaik Bersepadu (Integrated Agrivoltaic System) dan laluan pejalan kaki mesra alam, sekali gus meletakkan UPM antara peneraju dalam agenda kampus lestari dan inovasi teknologi hijau.

Lawatan berkenaan diadakan sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung di UPM.

SURIA16 Floating & Walkway bukan sahaja menjana tenaga boleh baharu melalui panel solar atas permukaan air, malah mengintegrasikan sistem pertanian hidroponik yang menjimatkan ruang dan mesra alam, selari dengan usaha negara mengurangkan pelepasan karbon dan mencapai pembangunan lestari.

Inisiatif ini turut membuktikan keupayaan institusi pengajian tinggi seperti UPM untuk menjadi hab inovasi teknologi hijau yang memberi impak langsung kepada masyarakat dan negara.

Mesyuarat MTPK KPT diadakan bagi menyelaras serta menilai pelaksanaan projek pembangunan pendidikan tinggi, dengan matlamat memastikan kecekapan penggunaan peruntukan pembangunan yang disalurkan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA).



Turut hadir dalam mesyuarat ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah serta barisan Naib Canselor universiti awam lain.

Fasiliti SURIA16 Floating & Walkway @ Eng UPM merupakan hasil kolaborasi merentas bidang antara penyelidik Fakulti Kejuruteraan, pakar tenaga boleh baharu dan jurutera pertanian yang melambangkan pendekatan transdisiplin yang digariskan dibawah lonjakan ekosistem inovasi dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Dengan lawatan ini, UPM sekali lagi memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju inovasi lestari dalam pendidikan tinggi negara.

WYHQFAv~