| Universiti Putra Malaysia

2024 TEMPOH MENCABAR EKONOMI NEGARA DAN RAKYAT

Ringkasan Artikel

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) pada Januari lepas mengunjurkan bahawa tahun 2024 akan kekal sebagai tempoh yang mencabar dalam aspek pembangunan ekonomi.

Oleh: Dr Chakrin Utit, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) Universiti Putra Malaysia

 

 

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) pada Januari lepas mengunjurkan bahawa tahun 2024 akan kekal sebagai tempoh yang mencabar dalam aspek pembangunan ekonomi.

 

Persekitaran ekonomi dunia dilihat akan terus dibayangi oleh aspek ketidaktentuan pertumbuhan, yang didorong oleh faktor pemulihan pasca pandemik, krisis geopolitik dan peningkatan kos sara hidup.

 

Walaupun Malaysia telah pulih sepenuhnya daripada krisis pandemik dan berpusat jauh daripada titik panas konflik geopolitik, kerosakan yang dibawa oleh kedua-dua krisis tersebut dalam rantaian bekalan global masih memberikan kesan mendalam kepada ekonomi negara.

 

Situasi ini wujud selaras dengan sistem ekonomi dan kewangan terbuka Malaysia yang mendedahkan kita kepada ketidaktentuan global.

 

Daripada perspektif rakyat, mungkin sukar bagi mereka memahami bagaimana krisis terbabit mampu memberikan impak kepada ekonomi negara.

 

Tetapi jika dikaitkan dengan perihal kos sara hidup, ramai yang akan meluahkan kebimbangan mereka. Ini rentetan lonjakan harga barangan dan perkhidmatan yang dilihat semakin ketara terutamanya dalam tempoh pasca pandemik.

 

Laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Februari 2024 mengesahkan pemerhatian ini dengan tingkat inflasi keseluruhan negara direkodkan meningkat 1.8 peratus, berbanding 1.5 peratus pada Januari 2024.

 

Peningkatan ketara didorong oleh tiga kumpulan barangan dan perkhidmatan utama melibatkan (i) Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain, (ii) Rekreasi, Sukan & Kebudayaan dan (iii) Pengangkutan.

 

Itu adalah situasi inflasi yang mencerminkan tingkat harga dalam pasaran pada Februari 2024. Bagaimana pula dengan situasi pada Mac dan terkini, April?

 

Perlu diingat bahawa pada tiga bulan ini berlaku peningkatan permintaan mendadak dalam beberapa segmen barangan dan perkhidmatan disebabkan beberapa peristiwa utama.

 

Ini melibatkan sambutan Tahun Baru Cina, pembukaan sesi persekolahan, ketibaan bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dibezakan dengan tempoh kurang 28 hari bagi setiap peristiwa.

 

Dengan garis masa yang singkat antara setiap peristiwa tersebut, peningkatan permintaan mendadak semestinya akan mendorong kepada kenaikan tingkat harga.

 

Dijangkakan penerbitan Laporan IHP bagi Mac dan April akan menunjukkan peningkatan ketara harga terutamanya pada kumpulan Makanan & Minuman dan Restoran & Perkhidmatan Penginapan bagi memenuhi permintaan ketika perayaan, dan Pakaian & Kasut ketika pembukaan sesi persekolahan.

 

Selain itu, kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8 peratus bermula awal Mac 2024 juga akan memberikan pengaruh kepada pergerakan harga dalam pasaran.

 

Walaupun SST cuma dikenakan kepada pembekal perkhidmatan, dan kenaikan dikecualikan kepada beberapa jenis perkhidmatan utama, impaknya akan tetap dirasai disebabkan komposisi pembekal perkhidmatan yang besar dalam ekonomi.

 

Dianggarkan lebih 89 peratus daripada pertubuhan perniagaan berdaftar di Malaysia beroperasi dalam segmen perkhidmatan. Situasi ini diburukkan lagi dengan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir peniaga yang turut menaikkan harga.

 

Hakikatnya, isu inflasi dan harga bukanlah suatu perkara mudah untuk dikawal. Namun, di sesetengah negara, rakyat di negara berkenaan tidak mudah mengeluh apabila berhadapan isu ini disebabkan ia dapat diimbangi sewajarnya melalui pertumbuhan pendapatan mereka.

 

Tetapi dalam konteks Malaysia, situasi berbeza wujud apabila pertumbuhan harga dilihat lebih pantas berbanding pendapatan.

 

Contoh mudah boleh diteliti bagi pendapatan dalam sektor formal menggunakan pecahan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut jenis pendapatan.

 

Daripada tahun 2021, bahagian pampasan pekerja (CE) dilihat semakin mengecil berbanding tahun 2020. Dalam tempoh tersebut, bahagian CE menguncup daripada 37.4 peratus kepada 35.1 peratus.

 

Sehingga tahun 2022, bahagian CE dianggarkan berada sekitar 32.4 peratus. Peratusan tersebut secara ringkasnya menunjukkan bahawa daripada RM100 nilai pertumbuhan KDNK, RM32.40 merupakan bahagian CE.

 

Sebahagian besar daripada impak pertumbuhan lebih dirasai oleh golongan pemodal atau pemilik perniagaan. Bergerak ke hadapan, terdapat beberapa langkah proaktif yang telah diambil dan boleh diambil oleh pihak kerajaan dan rakyat.

 

Di pihak kerajaan, tindakan tepat untuk mengembalikan semula sesi persekolahan kepada Januari pada 2026 telah diumumkan baru-baru ini. Pengembalian kepada sesi Januari akan membantu mengurangkan kenaikan aktiviti permintaan mendadak dalam suatu tempoh masa disebabkan tiada pertembungan dengan aktiviti perayaan utama. Situasi ini seterusnya akan membantu menstabilkan tingkat harga di pasaran.

 

Bagi menyediakan pasaran setempat kepada peningkatan permintaan, terutamanya bagi barangan makanan ketika musim perayaan pula, sistem perancangan yang bersifat ”top-down” perlu dilengkapi juga dengan sistem ”bottom-up”.

 

Kerajaan negeri kini perlu bertindak aktif bagi mewujudkan Dasar Agromakanan di peringkat negeri dan tidak bergantung kepada dokumen di peringkat nasional semata-mata.

 

Dengan adanya dokumen dasar pelengkap, ekosistem makanan negeri akan menjadi lebih tersusun dan mampu berhadapan dengan sebarang kemungkinan lonjakan permintaan.

 

Dari aspek peningkatan kadar percukaian atau peralihan dalam sistem percukaian, peniaga dan rakyat perlu diberikan pendedahan secukupnya mengenai kaedah pelaksanaan dan impak harga.

 

Pendedahan boleh dilakukan melalui pelbagai pendekatan seperti video pendek dan hantaran di media sosial. Untuk golongan peniaga, ini akan membantu mereka memahami sistem percukaian semasa dengan lebih mendalam.

 

Manakala bagi rakyat selaku pengguna, ia akan membantu mereka menilai sendiri tingkat harga di pasaran. Sekiranya berlaku kenaikan harga yang mendadak, laporan kepada pihak berkuasa boleh terus dilakukan.

 

Lebih penting, langkah untuk menyeimbangkan impak kenaikan harga dengan peningkatan tahap pendapatan perlu disegerakan melalui penambahbaikan dalam sistem gaji minimum dan pelaksanaan sistem gaji progresif.

 

Bagi gaji minimum, model seperti yang digunakan di negara maju yang menerapkan sistem semakan berkala dan mengikut industri boleh diteliti dengan mendalam.

 

Sistem gaji progresif pula perlu dilaksana secara berperingkat dalam industri-industri utama negara yang dilihat mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya.

 

Di pihak rakyat, sudah semestinya mereka perlu memberikan perhatian kepada aspek perancangan kewangan.

 

Dengan sistem ekonomi negara yang kian kompleks dan terdedah kepada pelbagai aspek perkembangan global, setiap perbelanjaan perlu dirancang teliti. Perancangan perlu dilakukan dengan mengambil kira aspek perbelanjaan luar jangka dan mengurangkan komitmen hutang.

SXEeEA~